Friday, July 30, 2010

Polemik ESQ: Penjelasan Ilmiah Diperlukan

Isu pengharaman ESQ oleh Mufti Wilayah Persekutuan ( Kenyataan Mufti WP) masih lagi belum reda walaupun pihak Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan kenyataan (Kenyataan Majlis Fatwa) yang lebih ringan dan berbeza daripada Mufti WP. Setelah fatwa yang dikeluarkan mendapat pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak, pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah mengeluarkan satu lagi kenyataan rasmi berkenaan kronologi peristiwa yang membawa kepada pengharaman tersebut.Korang boleh klik link kat atas tu untuk rujukan. 

Sementara itu, pihak ESQ pula menjelaskan isu ini melalui akhbar-akhbar tempatan terutamanya akhbar Sinar Harian yang merupakan pendukung kuat program ESQ ini. Kumpulan Karangkraf yang memiliki akhbar Sinar Harian setahu aku telah mewajibkan semua kakitangan mereka untuk menjalani program ESQ. Malah keakraban pihak ESQ dengan pimpinan tertinggi Karangkraf terserlah melalui kebersamaan mereka dalam banyak majlis rasmi yang turut adakalanya melibatkan pemimpin kerajaan. Namun apa yang aku lihat, penjelasan-penjelasan mereka setakat ini lebih bersifat survey yakni mengambil pandangan daripada individu-individu yang telah menjadi Alumni ESQ. Bagi aku, sepatutnya pihak ESQ perlu membuat penjelasan satu persatu terhadap dakwaan Mufti Wilayah Persekutuan secara ilmiah dan bukannya mendapatkan pandangan umum sebegitu.



Tindakan pihak ESQ yang memohon dibenarkan membuat semakan kehakiman bagi membatalkan fatwa Mufti Wilayah Persekutuan telah mengeruhkan lagi keadaan. Bagi mereka yang sensitif, sikap konfrontasi yang ditunjukkan seolah-olah cuba mencabar institusi mufti di negara ini. Apatah lagi apabila ESQ diketuai oleh seorang rakyat asing yang melakukan perbuatan tersebut. Ia kelihatan seolah-olah orang luar cuba bersikap 'kurang ajar' terhadap institusi agama yang dinaungi Raja-Raja Melayu. Pak Ary Giranjar harus maklum dengan sensitiviti masyarakat Malaysia tentang perkara ini. Memang benar dalam sesetengah keadaan  Mufti turut dibantai oleh pihak tertentu di Malaysia khususnya apabila ia membabitkan politik. Namun sejarah telah membuktikan, apabila isu yang timbul melibatkan soal akidah maka mereka akan bersama mufti mereka berdiri dengan satu suara. Ini dapat dilihat dalam isu Darul Arqam, Rufaqa, Ayah Pin, Syiah dan sebagainya.

Semalam aku mendapat SMS yang menjemput aku untuk hadir ke majlis penjelasan dan dialog yang diatur oeh pihak ESQ di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Khabarnya Pak Ary sendiri yang akan hadir. Malangnya aku tak dapat hadir kerana ada urusan yang lebih mustahak. Namun aku menanti penuh minat hasil daripada dialog ini. Aku mengharapkan satu penyelesaian total tentang isu ini. Isu akidah bukanlah isu yang boleh dipermainkan. Pihak panel penasihat syariah ESQ mesti mencari jalan keluar mengenai isu ini. Salah satu daripada pendapat kedua-dua pihak wajib betul.Mustahil ia boleh jadi betul kedua-duanya. Kesalahan dari sudut akidah bukan perkara kecil. Akidahlah yang menentukan seseorang itu ke syurga atau neraka! Insya Allah the truth shall prevail!

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...