Thursday, December 2, 2010

Harimau Tersungkur diCengkam Garuda

Kebimbangan segelintir penyokong Malaysia yang mempersoalkan tindakan K.Rajagopal menyenaraikan majoriti pemain muda dalam skuad Malaysia ke Piala AFF tahun ini nampaknya berasas apabila Malaysia tumpas di tangan Indonesia dalam aksi pertama peringkat kumpulan semalam. Rajagopal dikritik hebat oleh segelintir penyokong dalam forum Harimaumalaya.Com kerana tidak menyenaraikan pemain-pemain senior yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam liga Malaysia dan sebaliknya menyenaraikan majoriti pemain bawah 23 tahun yang baru beraksi dalam Sukan Asia baru-baru ini. Walaupun mereka beraksi agak baik dalam Sukan Asia dan berjaya memenangi pingat emas Sukan SEA lepas tidak bermakna mereka mampu bersaing dalam Piala AFF yang disertai oleh pasukan-pasukan utama kebangsaan negara masing-masing dan bukannya pasukan peringkat umur.



Diperingkat ini, bukan sahaja kekuatan fizikal dan kecergasan penting tetapi pengalaman dan kemampuan menyerap tekanan turut diambil kira. Indonesia semalam ternyata memanfaatkan kegugupan dan kecetekan pengalaman pemain pertahanan Malaysia. Dua orang bek tengah Malaysia iaitu Muslim Ahmad dan Fadhli Shas baru berusia 21 dan 19 tahun. Mereka juga diapit oleh Asrarudin Putra Omar yang berusia 22 tahun dan Razman Roslan yang baru dipanggil lebih kurang seminggu sebelum kejohanan bermula. Dalam liga Malaysia masih ramai pemain pertahanan yang dikira layak diberi peluang berdasarkan pengalaman dan prestasi mereka seperti Shukor Adan, Azizi Mat Ros, Khairul Anuar Bahrom, P.Gunalan, Daudsu Jamaludin mahupun Marzuki Yusuf setelah pemain tonggak seperti Zamani Misbah dan Aidil Zafuan ditimpa kerajaan.Agak mengejutkan juga apabila Rajagopal menyenaraikan Sharbinee Alawee dalam aksi semalam walaupun prestasi Khairul Fahmi Che Mat lebih meyakinkan buat masa ini. Dari sudut pemain tengah dan jentera serangan, kekuatan Malaysia boleh dikatakan agak seimbang dengan Indonesia. Cuma mereka kelihatan cuba bermain 'cantik' berbanding simple football. Indonesia pula sebaliknya bermain cara mudah dan terus menerus  menghantar bola ke dalam kawasan penalti Malaysia sambil menunggu pemain Malaysia membuat kesilapan sebelum memanfaatkan kesilapan tersebut sepenuhnya. Apapun Malaysia masih punya peluang dan mereka harus membuktikan sesuatu agar setidak-tidaknya bolasepak Malaysia tidak terus dipandang sebelah mata oleh peminat sukan tanah air.

Album Terbaru Itqan Imbau Nostalgia Al Anwar

Tajuk                           :           Rindu
Artis                             :           ITQAN
Terbitan                        :           Kelab Nasyid Itqan
Edaran                         :           Sony Music Entertainment
Edaran Bersama           :           Nasyeed.Com



Setelah kemunculan album pertama pada tahun 2008 berjudul Kasih, Itqan kini tampil dengan album kedua mereka berjudul Rindu. Dengan dibarisi sebahagian ahli baru yang menggantikan ahli-ahlinya yang menyambung pelajaran ke luar negara, album kali ini dilihat lebih matang dan bertenaga. Mereka turut berduet dengan Rabbani melalui lagu Zikir Rindu manakala lagu Rindu Akhirat pula turut menampilkan penyanyi asal lagu tersebut iaitu kumpulan Al Anwar. Antara lagu yang turut dijangka hits ialah lagu Senandung Kesyukuran, Kasihmu Ibu dan Bisikan Rindu Buatmu Guru. Album ini turut mendapat sentuhan tenaga produksi professional seperti Dakmie, Amin Nordin, Along Exist, Fauzi Marzuki, Mohar, Ramli Rebana dan ramai lagi.Bagi peminat lagu-lagu Al Anwar yang pernah popular dengan lagu Rindu Akhirat dan Senandung Kesyukuran tentunya akan mengimbau nostalgia masing-masing. Apatah lagi bekas anggota Al Anwar turut sama menyumbangkan suara meraka dalam album ini. Jadi ayuh! Usah tunggu lagi..dapatkan di pasaran sekarang!

Friday, November 26, 2010

Menjelang AFF: Malaysia Perlukan Pasukan Kebangsaan Sebenar!

Malaysia perlu mewujudkan dua team yang berbeza dengan jurulatih yang berbeza supaya insiden Sukan Asia dan Piala AFF kali ini tak berulang. Tindakan menggunakan pasukan yang sama  untuk dua kejohanan yang diadakan secara berturutan ternyata mengundang padah. Malaysia yang mendaftarkan pemain yang hampir sama untuk kedua-dua kejohanan akhirnya terpaksa membuat rayuan untuk menyenaraikan pemain baru selepas sebahagian besar tonggak skuad Sukan Asia mengalami kecederaan panjang. Perkara ini mungkin dapat dielakkan sekiranya FAM membentuk dua skuad yang berbeza untuk Piala AFF dengan menggunakan pemain-pemain senior.
Skuad Sukan Asia aka Piala AFF
Team peringkat umur sama ada bawah 19, 21 atau 23 harus punya jurulatih dan pasukan masing-masing. Begitu juga dengan pasukan utama atau pasukan kebangsaan. Namun ia tidak bermakna pemain-pemain peringkat umur tidak boleh diserapkan ke pasukan kebangsaan jika prestasi mereka memang bagus. Contoh yang mudah, Khairul Fahmi ( Apek). Walaupun umur dia baru 21 tahun, namun dia adalah keeper terbaik Malaysia ada pada masa ini oleh itu dia layak untuk mewakili pasukan utama kebangsaan. Begitu juga pemain muda seperti Aidil Zaquan, Zaquan Adaha atau Muslim Ahmad, mereka memang layak secara merit untuk mewakili pasukan kebangsaan.

Apek memang keeper terbaik Malaysia walaupun masih muda
Cuma yang aku hairan kenapa kita sering menganggap pemain-pemain berusia 25 tahun dan ke atas sebagai kuda tua padahal di kebanyakan negara luar, pemain yang berusia antara 25 hingga 30 adalah pemain yang berada di puncak prestasi masing-masing walaupun tidaklah semua begitu. Jadi untuk menidakkan peluang pemain-pemain 'senior' ini mewakili pasukan kebangsaan hanya kerana mereka dianggap tua tanpa melihat prestasi mereka dalam liga adalah sesuatu yang merugikan.
Piya tak pernah dipanggil walaupun bagus dalam liga
Aku rasa ramai pemain-pemain senior yang layak mewakili negara berdasarkan prestasi masing-masing dalam liga. Pemain seperti Indraputra, Safee Salee, Idris Karim, Badri Radzi ( Piya), Akmal Rizal, Amri Yahyah, Eddie Helmi, Shukor Adan, Nor Farhan, Acong, Azizi Mat Rose, Halim Zainal dan ramai lagi aku rasa masih relevan untuk menyumbangkan sesuatu kepada skuad negara. Mereka adalah antara pemain-pemain yang perform dalm liga kita. Mengapa mereka kita pinggirkan?Piya contohnya tidak pernah dipanggil mewakili skuad kebangsaan walaupun menunjukkan mutu permainan yang baik 3 tahun kebelakangan ini.Mungkin sebab dia mencapai puncak prestasi selepas umur dia 24 atau 25 tahun kot sebab tulah dia tak dapat call .Jika pengalaman dan kematangan mereka dicampur dengan kekuatan dan kecergasan fizikal pemain muda, aku rasa kita boleh mencapai sesuatu yang lebih baik. Namun suka aku tegaskan pemilihan ke atas pemain senior sebegini mestilah dibuat berdasarkan merit dan bukan umur semata-mata. Pasal ade yang kata pemain senior ni suka buat kepala dan merosakkan game pemain muda aku tak nak campurlah sebab benda-benda macam tu coach dan management yang kena settlekan.

 Skuad Harimau Malaysia ( Pelapis ) 1983: Yang aku cam cuma Dollah Saleh, Lim Teong Kim dan Shebby
Dengan mempunyai dua set pemain dan jurulatih serta pengurusan yang berbeza aku yakin kita akan jadi lebih fokus dan mampu membuat persediaan yang lebih baik. Pemain pun akan dapat rehat yang secukupnya. Takdelah asyik muka sama je yang kena main. Pasukan Kebangsaan akan menumpukan kepada kejohanan seperti Piala AFF, Kelayakan Piala Asia dan Kelayakan Piala Dunia manakala team bawah 23 pula lebih fokus kepada Sukan SEA, Sukan Asia Kelayakan Olimpik dan kejohanan-kejohanan peringkat umur yang lain. FAM pun kenalah ligat susun perlawanan persahabatan dengan team-team yang bermutu untuk kedua-dua team ni. Program yang kat Slovakia tu aku rasa tak perlu diteruskan.
Pestabola Merdeka 1986: Malaysia vs Chechoslovakia
Lebih baik kita buat balik Pestabola Merdeka untuk team senior dan Inter Continental Cup untuk skuad bawah 23. Untuk seimbangkan soal commercial dan mutu mungkin kita boleh jemput team-team yang bagus tetapi pada yang sama mempunyai ramai warga negara mereka di sini. Pestabola mungkin kita boleh jemput Myanmar, Vietnam, Indonesia dan India untuk meramaikan penonton dan kita jemput jugak team yang berkualiti macam Nigeria (aku rasa rakyat diorang pun ramai kat sini), New Zealand, Slovakia ( FAM kan baik ngan geng Slovak), UAE, Uzbekistan atau sebagainya. Nak jemput team-team yang hebat macam Jepun, Korea atau England ke dah confirm diorang tak nak datang. Takpe, tak salah kalau kita bermula dari bawah
Indraputra masih relevan untuk Malaysia
FAM selalu menggunakan alasan pemabangunan jangka panjang untuk merasionalkan pemain bawah 23 tahun sebagai skuad utama kebangsaan.Aku faham soal perancangan jangka panjang tu.. cuma janganlah nanti bila pemain muda sekarang ni berumur sikit nanti mereka pun akan dipinggirkan. Ala sama yang jadi pada batch Akmal dulu yang kita anggap generasi emas. Kalau Rajagopal gagal dengan team yang ada sekarang, maka akan ada jurulatih baru yang ganti dia guna pemain muda. Maka episod dan skrip "pendedahan" akan berulang kembali. Asyik dedah-dedah je, ape benda pun tak dapat.
Tercapaikah misi kali ini?
Cuba kita tengok team-team negara lain. Takyah pegi jauh la, tengok Singapore dan Indonesia. Ramai pemain timnas (pinjam istilah Indonesia) mereka bermain dengan pasukan kebangsaan dalam jangka masa yang agak lama walaupun mereka mungkin pernah gagal. Lihat saja bagaimana lamanya pemain seperti Ponaryo Astaman, Bambang Pamungkas dan Boaz Salosa ddi Indonesia. Begitu juga dengan Daniel Bennet, Noh Alam Shah, Indra Shahdan atau Lionel Lewis di Singapura. Thailand lagi best, masih memanfaatkan kudrat Therdsak Chaiman walaupun dah berusia 37 tahun selain bintang mereka Sutee Suksomkit yang berusia 32 tahun.Coach Singapore pun tak tukar aku rasa sejak 2003. Ini baru dinamakan pembangunan jangka panjang.



Kan bagus kalau mamat ni dipanggil main untuk Malaysia?

Kita kat Malaysia ni asyik tukar orang. Datang batch baru, tinggal batch lama. Gagal sekali pun terus tukar. Cikgu Jan dan Bisckei adalah antara mangsa polisi FAM sebegini. Dah la FAM macam takberminat nak neutralise rakyat kita yang main kat luar negara walaupun dah letih geng HMC dok scout. Dulu coach FAM kata Titus James tak cukup bagus, ok fine la. Tapi macam mana dengan pemain lain macam Brendan Gan yang perform baik dalam Liga Aussie, Tam Sheang Tsung di Jepun mahupun Nick Chan di UK dan ntah sesapa lagi yang aku pun dah tak ingat. Kita pernah terlepas Shaun Maloney, jadi janganlah terjadi lagi selepas ini. Tim negara jiran kita seperti Indonesia dan Philipine pun dah start scout dan panggil rakyat diorang yang main kat luar. Even Timor Leste pun buat benda yang sama.. Kita? Hmm.. nak berjaya kenalah buat keje lebih sikit ye Encik FAM.. :)

Fenomena Maher Zain

Sejak kebelakangan ini para peminat dan aktivis nasyid mula bercakap memberi perhatian mereka kepada seorang ikon baru dalam industri nasyid antarabangsa yang turut sama menarik minat penggiat industri muzik secara umumnya. Aku masih ingat ketika menghadiri majlis kesyukuran anjuran Inteam Records tidak lama dulu,  seorang penggiat muzik terkenal tanah air berkata, “ Hmm.. tak sangka ya album nasyid pun boleh macam ni..”. Beliau sebenarnya merujuk kepada album Maher Zain yang menjadi buah mulut di kalangan peminat muzik nasyid ketika ini. Memang benar, apa yang dibawa oleh Maher Zain sangat segar dan menepati citarasa peminat muzik dewasa ini. Malah aku rasa tidak salah jika aku katakan bahawa Maher Zain telah membawa nasyid ke satu tahap baru yang mencetuskan satu fenomena dalam dunia nasyid khususnya.



Ni la video klip Maher Zain yang pertama aku tengok

            Kali pertama aku mendengar tentang Maher Zain adalah ketika saya menonton videoklip persembahan beliau dalam satu persembahan pentas yang disebarkan secara meluas melalui youtube dan facebook. Melodi lagu berjudul Barakallah yang dinyanyikannya terus ”melekat” di telinga aku. Sejak itu aku mula mengikuti perkembangan dan album dia melalui internet. Jika para peminat melihat dari sudut keenakan melodi dan lirik lagunya, penggiat nasyid seperti aku lebih berminat untuk mengkaji kualiti bunyi, intrumentasi, elemen muzik, pengisian lirik serta proses produksi secara keseluruhannya. Setelah aku teliti aspek-aspek ini, ternyata Maher Zain jauh kehadapan berbanding kami di Malaysia. Maka tidak hairanlah peminat Maher Zain di Malaysia sahaja pun dikatakan mencapai angka ratusan ribu.

Aksi Maher Zain di Shah Alam

            Namun untuk menghasilkan album atau karya yang mendapat mendapat sambutan hangat di peringkat antarabangsa sebagaimana yang dilakukan Maher Zain memerlukan kos yang bukan sedikit. Bakat semata-mata tidak mampu membawa kita ketahap itu. Sebaliknya usaha gigih yang disokong oleh pelaburan yang besar serta strategi pemasaran yang berkesan diperlukan dalam merealisasikannya. Mungkin kos penghasilan sebuah videoklip Maher Zain sahaja pun boleh menampung kos produksi 2 atau 3 album nasyid di Malaysia. Mungkin begitulah boleh aku gambarkan betapa tingginya pelaburan wang ringgit untuk menghasilkan karya sebegitu. Soal modal dan sumber kewangan sememangnya menjadi kekangan bukan sahaja kepada penggiat nasyid tetapi penggiat seni di Malaysia secara umumnya. Namun segalanya itu tidak sama sekali akan mematahkan semangat kami untuk terus berkarya dan  memberikan yang terbaik kepada para pencinta irama nasyid agar ianya tidak akan hilang di telan masa.


p/s: Khabarnya Maher Zain akan datang lagi ke Malaysia Febuari depan

AFBOTB : Mencari Pasaran Baru Dakwah

        Baru-baru ini aku dan teman-teman di Nasyeed.Com telah menganjurkan satu program bercorak pertandingan kugiran atau battle of the bands. Di kalangan anak-anak muda dan remaja dewasa ini, pertandingan sebegini sentiasa dinanti-nantikan. Muzik dan nyanyian memang agak dekat dengan remaja. Cuma masing-masing akan memilih genre muzik yang diminati. Aku tertarik dengan kata-kata Bro.  Ayie dari Alfarabi Band, ” Kita yang control muzik bukan muzik yang control hidup kita. Kalau kita main rock sekalipun, tak bermakna kita wajib pakai seluar koyak, rantai atau berambut panjang. Kita masih mampu beragama dengan sempurna walalaupun kita seorang rockers ”



Mesej inilah sebenarnya ingin kami sampaikan melalui penganjuran aktiviti sebegini. Kami cuba membetulkan tanggapan segelintir pihak sekaligus membuktikan bahawa mat rock pun boleh jadi mat surau pada masa yang sama. Begitulah bahasa mudahnya. Islam itu sebenarnya mudah dan merupakan cara hidup yang lengkap. Kami mempunyai strategi dan pengisian tersendiri dalam menyampaikan keindahan Islam kepada ’market’ yang jarang dicapai oleh golongan agama dan ustaz-ustaz kita. Mungkin bukanlah mereka berniat tidak mahu menangani ’market’ ini tetapi ’tools’  atau ’peralatan’ yang dimiliki mereka tidak sesuai. Maka dengan sedikit ’senjata’ yang ada, kami berhasrat untuk mengisi kekurangan itu.



        Malangnya terdapat segelintir pihak yang tidak bersetuju dengan apa yang kami lakukan. Mereka menganggap cara kami ini tidak menepati sunnah dan menggadaikan agama. Apapun hakikatnya kami melakukan semua ini bukannya secara sembrono. Kami sudah mendapatkan nasihat daripada mereka yang arif dalam bidang agama. Hmm.. biasalah. Perkara yang tidak ’qatie’ ni memang banyak pandangan berbeza. Ulama pun mengeluarkan ijtihad yang berbeza berdasarkan ilmu mereka.

p/s: Al Farabi Battle of the Band siri kedua akan diadakan pada 4 Disember 2010 di Dewan Orang Ramai, MPK, Sungai Pinang, Klang bermula pukul 12 tengahari hingga 9 malam. Semua dijemput hadir..Siapa nak masuk jadi contestant pun rasanya masih boleh.. boleh terus call pejabat Nasyeed.Com di talian 03-55121352


Tuesday, November 16, 2010

Sulu Merdeka: Antara Reaksi dan Implikasi

Hari ini genap 2 hari sebelum Kesultanan Sulu mengisytiharkan  kemerdekaannya atau lebih tepat lagi kembalinya kedaulatan sebuah kesultanan muslim di rantau Asia Tenggara. Setelah sekian lama ia hilang kedaulatannya, kini selepas lebih 70 tahun kadaulatannya ingin dikembalikan oleh rakyat dan pewarisnya. Pengisytiharan ini tentunya menimbulkan pelbagai implikasi baik dari segi politik, ekonomi mahupun keselamatan serantau. Berikut sedikit analisis tentang persoalan atau isu yang mungkin timbul setelah pengisytiharan ini:
  • Mampukah Sulu Menguatkuasakan Kemerdekaannya?
    • Ini adalah persoalan pokok yang perlu dijawab. Secara umumnya aku sendiri masih gusar sama ada  pemerintah Sulu yakni Kesultanan dan Kerajaan Sulu mampu untuk menguatkuasakan kemerdekaan negara kepulauan ini. Jentera kerajaan Sulu perlu mengambil alih segala instrumen pemerintahan daripada kerajaan Filipina. Soalnya adakah Filipina akan menyerahkan segala aset dan fasiliti yang dibangunkan mereka selama ini dengan begitu saja? Begitu juga dengan kakitangan kerajaan yang sedia ada, adakah mereka dengan rela hati untuk menerima 'tuan' baru?
  • Filipina hanya Berdiam Diri?
    • Adalah agak mustahil untuk menyatakan bahawa Filipina akan berdiam diri begitu sahaja dan melihat wilayah yang mereka perintah selama ini terlepas kepada orang lain walaupun pihak UTC yang menjadi tunjang kerajaan Sulu yang bakal wujud mendakwa pengisystiharan mereka sah dari sudut undang-undang berdasarkan perjanjian terdahulu. (bab ni korang kena rujuk dalam blog asreesulu). Apabila melibatkan perhitungan kuasa, harta dan kedaulatan selalunya manusia akan terdorong untuk bertindak di luar garis undang-undang. Apatah lagi sememangnya kerajaan Filipina sejak dari dulu mempunyai dasar yang 'keras' terhadap umat Islam di selatan. Masih terdapat kemungkinan Filipina akan tanpa segan silu menggunakan kuasa tentera mereka untuk menjaga 'kedaulatannya'.
  • Reaksi Negara Serantau dan Masyarakat Dunia
    • Negara muslim di rantau ini seperti Malaysia, Brunei mahupun Indonesia tentunya secara dasarnya gembira dengan kelahiran negara muslim baru ini. Apatah lagi keluarga Diraja Brunei mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Kesultanan Sulu. Malaysia pula dikatakan sejak sekian lama memberi sokongan dalam bentuk tertentu kepada gerakan pembebasan di selatan Filipina walaupun dinafikan pemerintah Malaysia. Dan kemerdekaan ini adalah salah satu kejayaan atas usaha yang dilakukan selama ini. Cuma Malaysia mungkin masih gusar dengan isu tuntutan terhadap Sabah serta kebanjiran rakyat Sulu di Sabah. Masyarakat umum dunia atau PBB mungkin mengambil masa untuk mengiktiraf kemerdekaan Sulu atau ada juga kemungkinan besar ianya tidak akan diiktiraf secara rasmi oleh PBB atas sebab tertentu yang mungkin melibatkan kepentingan US. Negara Islam terutamanya negara Arab pula selalunya akan mengambil sikap tunggu dan lihat.Jika kemerdekaan ini mendapat 'restu' US maka mereka tidak akan teragak-agak untuk memberi pengiktirafan. Jika tidak Sulu mungkin akan menerima nasib yang sama seperti Somaliland yang tidak diiktiraf sebagai entiti negara sehingga ke hari ini walaupun kerajaan wujud benar-benar berkuasa dan berkemampuan untuk mentadbir.
  • Isu Malaysia dan Sabah
    • Malaysia tentunya bimbang sekiranya Sabah akan dituntut untuk dikembalikan kepada Kesultanan Sulu setelah ianya kembali berdaulat. Sampai hari ini kerajaan Malaysia didakwa masih membayar wang pajakan kepada waris kesultanan Sulu walaupun mereka yang menerima itu dikatakan waris palsu oleh sesetengah pihak. Namun kebimbangan itu mungkin sedikit kendur apabila pihak UTC menegaskan bahawa mereka tidak akan sama sekali menuntut Sabah daripada Malaysia. Namun ada satu lagi isu yang mungkin turut memberi kesan kepada sosiopolitik Malaysia khususnya di negeri Sabah. Ianya melibatkan pendaftaran sebahagian penduduk Sabah dan sebahagian kecil di Semenanjung terutamanya keturunan Tausug atau Sulu sebagai ahli UTC sekaligus mengakui mereka rakyat kepada Sultan dan negara Sulu. Undang-undang Malaysia tidak membenarkan sama sekali mana-mana rakyatnya memiliki 2 kewarganegaraan. Mereka ini harus memilih sama ada ingin menjadi rakyat Malaysia atau Sulu. Isu ini pernah dibangkitkan di Parlimen Malaysia satu ketika dahulu apabila pendaftaran ahli UTC mula dibuat secara besar-besaran. Malah pihak UTC juga telah membuat penjelasan tentang isu ini.
  • Campurtangan US dan Vatican
    • Apa kes pulak US ngan Vatican nak campur tangan? Mungkin itulah yang korang akan tanya pada aku.Kisahnya panjang. Selain daripada US adalah bekas penjajah Filipina, agen-agen US dan Filipina turut didakwa terlibat dengan misteri 'kehilangan' harta Kesultanan Sulu yang amat tinggi nilainya selepas kemangkatan Sultan Sulu yang terakhir memerintah sebelum ini pada sekitar tahun 1920-an. Harta itu kini didakwa sesetengah pihak berada dibawah kekuasaan pihak Vatican. Jadi sekiranya Kesultanan Sulu kembali wujud maka semestinya mereka akan menuntut kembali perbendaharaan mereka yang hilang itu. Tuntutan ini tentunya tidak boleh dibiarkan berlaku oleh US mahupun Vatican sendiri. Sekiranya keadaan memerlukan, aku rasa mereka takkan segan-segan menggunakan kuasa ketenteraan dan politik mereka.
  • Perang Baru Yang Lebih Besar akan Meletus?
    • Ini adalah perkara yang paling aku mintak dijauhkan oleh Allah SWT. Takde sesiapa yang waras mahukan peperangan. Bak kata Dato Raja Abdul Rashid Raja Badiozzaman yang juga Bekas Pengarah Perisikan Tentera Malaysia ( kalau tak silap aku la), "Hanya orang gila sahaja yang suka berperang.." Namun sejarah telah membuktikan bahawa orang yang waras pun boleh jadi gila bila berebut harta kekayaan dan kuasa. Dalam kes Sulu, selain daripada mempunyai perbendaharaan dalam bentuk jongkong emas yang bernilai sangat tinggi, Sulu juga dikatakan menyimpan khazanah petroleum yang sangat besar jumlahnya. Faktor ini mungkin boleh mendorong banyak kuasa besar dunia jadi 'gila' untuk menguasainya. Apa? mana aku dapat fakta ni? Korang bacalah kat sini.

Sebagai seorang Muslim, aku doakan Kesultanan Sulu akan mencapai kemerdekaan dalam erti kata yang sebenarnya. Aku tak nak lagi tengok terdapat lagi umat Islam di mana-mana saja di dunia ini ditindas dan dinafikan hak mereka. Selepas Sulu aku ingin sekali melihat Patani juga kembali merdeka dan berdaulat. Semoga pengisytiharan kemerdekaan Sulu pada hari raya Iduladha tahun ini akan membawa satu era baru yang lebih baik kepada dunia di sebelah sini. Amin..

p/s: Aku dah ngantuk. Nak tidur. Tomorrow will be a long day for me. Jauh tu nak drive balik Kelate..Oh ya, tahniah juga buat Harimau Malaya kerana menunjukkan tentangan yang baik walaupun kita kalah..Kita cuba di AFF pulak..Selamat malam!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...