Monday, April 20, 2009

Dah Lama tak Jalan-Jalan..

Aku rasa dah berbulan aku tak jenjalan dalam erti kata yang sebenar walaupun di hujung minggu. Selalunya kalau aku pergi mana-mana pun semuanya atas sebab kerja. Lagipun memang aku lebih suka "bertapa" di rumah dari merewang-rewang tanpa arah tujuan. Even kalau aku pegi shopping mall sekalipun aku akan terus beli barang yang aku nak dan bergegas pulang. Bagi aku nak window shopping semua ni membazir masa je.huhu.. Tapi semalam 19 April 2009, aku lepaskan gian jenjalan kat KL. Kebetulan pulak ada KL International Book Fair kt PWTC. Actually aku dah set ngan beberapa kengkawan lama untuk jumpa kat sana.

Lebih kurang pukul 10.15 pagi aku ambik mass kat apartment dia. Oleh sebab masing-masing tak sarapan lagi, kitorang pun singgah kat restoran sri ttdi. Aku makan nasi dagang dan pulut ikan kering yang memang aku gemar sejak kecik, mass pulak ambik bihun goreng. Ade la "sejeput" kot bihun yang dia ambik tu.Hmm.. jaga badan agaknya. Maklum la model sambilan la katakan.hehehe.. Baru aku nak menjamah nasi dagang yang enak tu Mass tanya "Itu apa abang razin?" sambil menunjuk ke arah pulut ikan kering. Lor rupanya dia tak pernah tengok makanan yang jadi kegemaran aku ni. Lalu aku pun berceritalah tentang hikayat pulut ikan kering sejak zaman cik siti wan kembang, zaman pendudukan jepun sehinggalah cara-cara membuatnya di zaman moden ini.Korang percaya ke apa yang aku cakap ni?? Hahaha... aku memain jela. Aku cuma cakap kat Mass nama makanan tu je. Aku sendiri pun tatau macam mana nak buat pulut tu. Yang aku tahu makan jela.huhu..

Lepas sarapan kami terus gerak ke KL. Sampai kat PWTC parking pulak penuh. Nasib baik la last-last dapat jugak parking space. Masuk je kawasan exhibition, aku tengok orang sangat ramai. Nak berjalan pun susah. Aku dan Mass mula meronda. Baru beberapa minit, aku terpandang sebuah buku yang dah lama aku cari. Tajuk dia "Islam dan Muzik" yang mana kandungannya ialah fatwa-fatwa berkenaan dengan muzik yang dikeluarkan oleh Mufti Kerajaan Brunei Darussalam. Dulu kat Nasyeed.Com memang ada buku ni tapi dah hilang entah ke mana. So kenalah aku beli balik. Masa kat gerai JAKIM pulak aku beli sebuah buku karangan Dr Yusuf Al Qaradhawi bertajuk "Seni Dalam Islam". Actually aku memang sedang berusaha mengumpul buku-buku berkaitan muzik dari perspektif Islam untuk dijadikan rujukan. Sebagai aktivis seni Islam aku rasa aku perlu punya pengetahuan tentang perkara-perkara sebegini. Kalau korang ada tahu kewujudan buku-buku macam tu bagitaulah aku ye.

Masa aku dan Mass singgah di gerai Hijjaz, pengunjung sangat ramai. Diorang tengah promote buku pasal NikMadihah, pelajar cemerlang SPM yang hebat tu. Aku pun respect habis kat dia. Walaupun dalam kesusahan, dia masih boleh berjaya dengan flying colours! "Siapa ni bang? Tunang ek?" Shima menyapa bila melihat aku dan Mass. "Ooo.. bertunang tak bagi tau!" Aku hanya tersenyum mendengar pertanyaan tu seraya membalas "Ini Mass awek abang yang paling bongsu..hehehe... takdelah ini officemate abang la!" Shima tergelak dengar respon aku. Then aku sempat juga menyapa Abai Os, David dan Abang Os. Takleh nak cakap lama-lama sebab diorang sibuk melayan pelanggan. Abai bagitahu aku Tuan Guru Nik Abd Aziz baru je masuk satu dewan yang berhampiran gerai hijjaz untuk pelancaran buku tentang isteri kesayangannya berjudul "Bidadari Dari Timur". Bila kami masuk, dewan tu penuh sesak. Aku sempat jumpa dan menyapa beberapa kenalan yang turut sama dalam majlis tu. Antaranya Ana ex-staff Saba Islamic Media dan seorang peserta saringan akhir AN Tv9. Aku juga nampak Intan Abdullah, wartawan harakah yang aku kenal masa Nisa' Games dulu cuma aku tak sempat nak tegur dia.

Habis je majlis aku dan mass teruskan rondaan kami. Semua level kami pergi. Masa kat tingkat atas aku jumpa Yosman, classmate aku zaman MBA. Dia jaga gerai UTM. Sempat juga sembang-sembang tentang peluang business yang aku boleh buat dengan UTM. Kami berhenti penat seketika sambil menjamah ais krim. Kitorang lepak kat depan stage dan tengok persembahan sajak daripada warga UPSI. Then kami ke gerai Anbakri Publika iaitu penerbit kepada buku yang dilancarkan Tok Guru Nik Aziz tadi untuk jumpa kawan kami Rabiatul Adawiyah @ Bee. Actually, dia nak sangat jumpa Mass. Lama la jugak kitorang borak. Aku pun tak lepaskan peluang beli buku tu.Oleh kerana gerai tu sebelah je gerai Inteam, so aku pun sempat menyapa dan borak ngan warga Inteam Records antaranya Hazamin, Shah, Abang Ito, Frizdan dan lain-lain. Sebelum pulang kami sekali lagi singgah di gerai Hijjaz. Kali ni Abang Isman dan Muadz pun ada. "Bila Razin nak masuk minang?" tetiba Abg Isman mengusik Mass."Ko jangan lambat Zin, melepas nanti..." Aku pun selamba respon, "Camne nak masuk bang, quotation dia tak keluarkan lagi.. " Abg Isman tergelak mendengar jawapan aku. Abang Isman bagitau kat aku yang dia nak ke Mekah esok untuk menunaikan umrah.

Aku dan Mass meninggalkan PWTC lebih kurang pukul 3.30 petang. On the way balik Shah Alam kami singgah pulak di Mid Valley. Perut pun lapar jadi lepas solat zohor kami makan kat Domino's Pizza. Then kitorang jenjalan kejap pastu terus balik. Sampai kat Shah Alam lebih kurang pukul 6.30 petang. Lepas hantar Mass, aku terus balik rumah. Hmm.. penat betul rasanya. Walaupun penat sekali sekala jenjalan macam ni best jugak!

Sunday, April 19, 2009

Tahniah Red Warriors!


Sebagai salah seorang daripada ribuan penyokong pasukan bolasepak Kelantan, aku nak ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pemain, team pengurusan dan teman-teman penyokong terutamanya geng-geng Kelate.Net kerana kejayaan the Red Warriors melangkah ke perlawanan akhir Piala FA 2009. Malam ini 18 April 2009 di stadium Tuanku Abd Rahman Paroi, sejarah tercipta apabila Kelantan buat pertama kali dalam sejarah menjejakkan kaki ke final Piala FA. Setahu aku, kali terakhir pasukan utama Kelantan layak ke perlawanan akhir ialah pada awal tahun 70-an ketika era Dali Omar. Itupun Kelantan hanya mampu muncul sebagai naib juara Piala Malaysia setelah tumpas di tangan Perak.

Walaupun pada awalnya ketinggalan dengan agregat 0-1 setelah tumpas di Kota Bharu dan seterusnya 0-2 apabila N.Sembilan menjaringkan gol awal, Kelantan tetap mampu bangkit melakar kejutan. Pada babak kedua, Kelantan menjaringkan dua gol dramatik melalui Nor Farhan Mohamed dan Indraputra Mahyudin menjadikan kedudukan agregat 2 sama namun Kelantan layak berdasarkan peraturan gol di tempat lawan.

Buat semua penyokong pasukan Kelantan, ayuh kita penuhkan stadium Bukit Jalil 25 April depan untuk memberi sokongan kepada Wira Merah. Semoga kita dapat membawa pulang piala ke Kota Bharu. Jupo set kito belako denu! Hidup Kelate!


Thursday, April 16, 2009

Nasyid : Antara Celaru dan Keliru

Assalamualaikum wbt..
Sebagaimana yang dijanjikan aku akan mengulas berkenaan dengan artikel nukilan Abd Aziz Itar yang telah disiarkan dalam utusan malaysia beberapa minggu lalu. Secara umumnya aku simpulkan antara intipati artikel beliau adalah seperti berikut:
  1. Nasyid telah hilang keaslian muziknya dan kini bercampur aduk dengan muzik-muzik moden
  2. Lirik sesetengah lagu nasyid telah lari dari maksud asal yang bertujuan sebagai medium dakwah. Penasyid juga tidak sepatutnya memetik semula maksud ayat suci Al quran untuk dijadikan lirik.
  3. Penggunaan instrumen muzik moden seperti gitar, bass, dram dan lain-lain harus dikurangkan agar lagu nasyid lebih mendamaikan dan tidak bingit sehingga menenggelamkan nyanyian kerana kekuatan nasyid sebenarnya terletak pada vokal berharmoni yang menyampaikan lirik-lirik yang bermesej
Definisi Nasyid
Sebelum mengulas dengan lebih jauh ingin aku kongsikan maksud dan definisi nasyid dari kacamata aku dan mungkin sebahagian besar aktivis nasyid yang lain di Malaysia. Suka aku tegaskan di sini bahawa nasyid BUKANLAH satu genre muzik sebagaimana yang mungkin difahami oleh ramai orang. Kesenian nasyid datang dengan 3 elemen dalam satu pakej seperti berikut:
  1. Lagu dan lirik harus sesuai dengan kehendak syarak dengan mesej yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah perkara mungkar
  2. Nasyid harus dipersembahkan dalam suasana yang terkawal dan tidak bercampur dengan unsur maksiat seperti hidangan minuman keras dan percampuran melampau antara lelaki dan wanita
  3. Penyanyi nasyid itu sendiri harus mempunyai keperibadian dan akhlak yang menepati syariat Islam. Oleh sebab itu kita tidak mengkategorikan penyanyi-penyanyi "mainstream" lain sebagai penyanyi nasyid walaupun mereka menyanyikan lagu ketuhanan. Lagipun seseorang penyanyi nasyid itu akan "declare" dia sebagai penyanyi nasyid.
Dalam konteks berbeza, nasyid juga harus mempunyai 3 elemen penting seperti berikut:
  1. Risalah: Ini merujuk kepada intipati lirik yang membawa mesej-mesej yang baik bersumberkan petikan maksud ayat suci Al Quran, Hadis mahupun kata-kata atau cetusan minda seseorang individu
  2. Dakwah: Nasyid harus mampu menjadi salah satu instrumen atau medium dakwah yang menyeru kepada kebaikan dan mencegak kemungkaran
  3. Tarbiyyah: Nasyid juga harus punya kemampuan untuk mentarbiyyah pendengar dan lebih penting penyanyi nasyid itu sendiri secara langsung atau tidak langsung sekaligus memangkin pengamalan kehidupan sejajar dengan syariat Islam.
Dari sudut muzik, nasyid boleh jadi apa saja daripada irama padang pasir, pop, raggae, hip hop, zapin, joget hinggalah rock. Islam itu agama yang sarwajagat sifatnya. Begitu juga nasyid sebagai wadah hiburan Islam.Kita tidak boleh memaksa sesuatu golongan atau bangsa itu menerima corak muzik atau budaya kita. Orang Jamaica yang membesar dengan irama raggae tentulah tak boleh nak layan lagu zapin. Begitu juga dengan orang Arab pun mungkin payah nak "masuk" dengan irama jazz. Biarlah mereka memilih nasyid dengan irama yang kena dengan jiwa mereka selagi mana mana apa yang dilakukan tidak bercanggah dengan syariat. Namun saya sangat setuju jika diwajibkan setiap penasyid itu harus mampu membawakan lagu-lagu berasaskan taranum Al Quran sama ada lagu berunsur Masri seperti Nahwan, Soba, Jiharkah, Rast, Hijaz, Bayati dan Sikah mahupun lagu berunsur Hijazi seperti Husaini, Mayyah, Rakbi dan Dukah. Tak perlulah perfect cuma cukup sekadar tahu melagukan atau paling teruk pun boleh tiru la. Ini kerana irama-irama inilah yang menjadi akar atau asas kepada kepada irama nasyid. Sebab itulah pada satu ketika irama nasyid di Malaysia ini di salah tafsirkan sebagai irama padang pasir.

Instrumen Muzik dalam Nasyid
Pada era nasyid dipopularkan oleh pergerakan Al-Arqam melalui kumpulan nasyid Nadamurni (Rabbani + Hijjaz) dan The Zikr (Raihan), Intrumen yang digunakan ketika itu hanyalah perkusi. Ini kerana mereka berpendapat hanya alatan muzik sebegitu sahaja halal digunakan amanakal alatan muzik berasaskan tali dan berturus udara seperti gitar, seruling, bass dan sebagainya haram. Namun pada masa yang sama sebenarnya telah wujud kumpulan nasyid seperti Al Jawaher, Al Mizan, Al Suraya dan lain-lain yang telahpun menggunakan instrumen muzik moden sejajar dengan konsep pop yang mereka bawa. Menurut cerita teman-teman yang pernah bersama Al Arqam, mereka pernah juga menganggap semua instrumen muzik itu haram untuk digunakan. Sebab itulah album-album nasyid yang diterbitkan oleh Al Arqam pada peringkat awal hanyalah nyanyian semata-mata tanpa iringan muzik. Menurut cerita, antara orang yang bertanggungjawab memperkenalkan penggunaan perkusi dalam Al Arqam ialah Habib Asasi yang popular dengan lagu Az Ziarah yang kini dinyanyikan semula oleh Inteam.

Pada awal era nasyid kontemporari irama nasyid masih terikat dengan perkusi. As time goes by, para penggiat industri nasyid mendapatkan pandangan ulamak-ulamak tertentu baik di kalangan kakiktangan kerajaan, pendakwah bebas mahupun di kalangan tokoh parti pembangkang tentang penggunaan alat muzik dalam nasyid. Majoriti berpendapat bahawa semua perkara yang wujud dibumi ini pada asalnya adalah HARUS selain daripada perkara yang jelas diharamkan dalam Al Quran dan Hadis dan hukumnya bersifat Qat'ie (putus) contohnya babi atau arak. Ini termasuklah alat-alat muzik sama ada perkusi, bertali mahupun bertiup. Selagi mana ia digunakan untuk tujuan dan dengan cara yang tidak bercanggah dengan syarak maka hukumnya harus untuk digunakan. Ulamak terdahulu mengharamkan alat muzik bertali dan bertiup bukan kerana zat alat itu sendiri tetapi kerana pada satu ketika ia menjadi syiar kepada golongan fasik.

Walau bagaimanapun aku setuju dengan pandangan saudara Aziz bahawa muzik nasyid harus tidak bingit dan terlalu kuat sehingga menenggelamkan nyanyian sekaligus menghalang mesej yang dibawa melalui lirik nasyid untuk sampai ke telinga pendengar. Apabila mesej tidak dapat disampaikan kepada pendengar maka hilanglah asas kepada tujuan nasyid itu sendiri yakni dakwah dan tarbiyyah.


Nasyid style dulu-dulu..

Wednesday, April 15, 2009

Apabila nasyid hilang identiti

Semasa mengendalikan salah satu event di Stadium Malawati Shah Alam aku sempat bertemu dengan kawan lama aku Akramin. Dia ada sebut kat aku tentang satu artikel yang ditulis dalam Utusan Malaysia oleh seorang yang bernama Abd Aziz Itar. Akramin mintak aku ulas tentang artikel tu dari sudut pandang aku sebagai seorang aktivis nasyid. Berikut aku sertakan bersama artikel tersebut untuk rujukan korang semua sebelum aku buat ulasan..

IRAMA nasyid mula mendapat sambutan hangat dalam industri muzik tanah air pada tahun 1997 apabila kumpulan Raihan muncul dengan album sulung mereka, Puji-Pujian. Album itu mencatat sejarah album paling laris yang dijual lebih 750,000 unit.

Mulai saat itu, Raihan bukan setakat meniti puncak populariti, malah turut mencetuskan suatu fenomena baru dalam bidang rakaman album di negara ini. Antaranya menyaksikan kemunculan banyak kumpulan nasyid yang dibaratkan cendawan selepas hujan. Kemudian banyak pula penerbitan banyak album nasyid yang mempergayakan dalam pelbagai rentak.

Anugerah Industri Muzik Malaysia ke-16 (AIM) yang akan diadakan pada 2 Mei depan misalnya, turut memberi pengiktirafan kepada irama nasyid sama seperti genre muzik yang lain.Sayangnya, selepas 12 tahun, irama yang berasal dari Asia Barat itu dikatakan semakin jauh tersasar daripada segi tema lirik serta keaslian muziknya.

Irama nasyid kini semakin hilang identitinya daripada segi elemen-elemen muzik di dalamnya yang bercampur aduk dengan muzik-muzik lain. Pada peringkat awal, irama nasyid banyak disaluti melodinya yang lembut serta mendamaikan dengan menggunakan alat-alat muzik tidak bertali terutamanya gendang, tabla dan kompang.Penyanyi Nazrey Johani dan Raihan antara artis nasyid yang dilihat masih mengekalkan penggunaan alat-alat muzik itu yang dianggap sebagai konservatif dalam irama nasyid.

Secara umumnya ramai yang mungkin bersetuju irama nasyid digunakan sebagai medium untuk berdakwah. Namun, terdapat kekeliruan apabila segelintir penyanyi atau kumpulan yang mendakwa mengetengahkan lagu-lagu nasyid tetapi tidak pula membawa mesej dari lirik yang sepatutnya. Penggunaan banyak alat-alat muzik moden juga dilihat kurang perlu kerana apa yang penting ialah kekuatan melodi dan harmoni vokal serta mesej yang ingin disampaikan.

Irama nasyid juga kini tidak jauh bezanya dengan muzik-muzik moden lain kerana ia turut menggunakan instrumen-instrumen seperti gitar, bass, deram dan keyboard.Dengan adanya instrumen seperti itu, lengguk irama nasyid kini tidak lagi selembut dulu, sebaliknya tempo serta semangatnya lagu-lagunya juga seakan-akan lebih rancak daripada lagu pop.Malah, percampuran elemen-elemen muzik dari Barat seperti hip hop yang adakalanya kasar gaya sebutannya turut diselitkan dalam lagu-lagu nasyid moden sejak kebelakangan ini.

Bukan tidak mahukan pembaharuan, tetapi tokok tambah muzik moden yang agak melampau seperti itu adakalanya bukan setakat menjejaskan identiti asal irama nasyid. Kalau sudah dipergayakan, tidak usah menggunakan nama “nasyid”, sebutlah apa saja nama baru yang lebih sesuai.Ini kerana eksperimentasi seperti itu akan mencetuskan persoalan-persoalan lain seperti hala tuju dan keaslian irama nasyid dalam menyampaikan mesejnya kepada khalayak.Contohnya, bagaimana untuk menyampaikan mesej atau dakwah jika lagu-lagu nasyid yang disampaikan itu bingit, rancak, terkinja-kinja dan bercelaru pula sebutan vokalnya?

Tidak seperti kumpulan-kumpulan nasyid tahun 1970-an dan 1980-an seperti Al-Jawahir, El Suraya dan Al-Mizan, pendekatan mereka dalam bernasyid tidak banyak mencetuskan pertikaian ramai.Meskipun tampil dengan konsep muzik pop, tetapi lengguk melodi lagu serta lirik-lirik yang mereka sampaikan jelas masih berada dalam jalur irama nasyid yang sopan dan bermatlamat.Kumpulan-kumpulan nasyid moden hari ini bukan tidak bermatlamat tetapi matlamat itu lebih untuk mencari pembaharuan muzik dan berorientasikan komersial semata-mata.

Pada masa sama, ada juga di kalangan penyanyi nasyid yang merakamkan album dengan menyanyi atau membacakan semula petikan surah-surah dari al-Quran dalam karya-karya mereka.Pendekatan itu bolehlah dianggap sebagai Islamik, tetapi yang kurang eloknya ialah, ia dilihat sebagai jalan mudah untuk menambahkan lagi produk-produk nasyid di pasaran.Sepatutnya, golongan ini tampil dengan melodi lagu-lagu nasyid dan lirik-lirik terbaru berdasarkan situasi semasa serta tidak lari daripada landasan asal iaitu menyampaikan mesej-mesej yang baik.Apabila berlakunya lambakan album nasyid yang berkonsepkan sedemikian, ia telah menimbulkan kekeliruan bukan sahaja di kalangan pendengar, tetapi juga panel juri pada sesuatu anugerah.

Para juri AIM16 misalnya, mungkin keliru mengadili album atau lagu nasyid yang dipertandingkan jika ia menampilkan petikan ayat-ayat suci al-Quran yang tidak boleh dipertikaikan.Kesukaran mengadili lagu atau album nasyid seperti itu dapat dirasai kerana, bagaimana untuk memberi pemarkahan kepada ayat-ayat al-Quran yang terbukti jelas tiada cacat celanya?Kalau boleh biarlah kemunculan album-album nasyid bukan setakat memberi hiburan, sumber ekonomi dalam industri muzik tetapi juga tanggungjawab sosial mereka kepada khalayak.Justeru, niat untuk menerbitkan album-album nasyid haruslah jelas kerana biarlah keuntungan sesebuah album itu seiring dengan manfaat yang bakal diperoleh oleh para pendengar kelak.

Oleh ABD. AZIZ ITAR
sumber daripada utusan.com.my

Tuesday, April 14, 2009

Kelahiran Orang Baru


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Dah lebih sebulan 5 hari aku tak update blog ni. Aku mohon maaf buat semua penjenguk-penjenguk setia blog aku ni. I really appreciate your support! Cuma sekali lagi kekangan masa dan tugasan di ofis membuatkan aku terpaksa abaikan seketika blog kesayanganku ini. Hmm..lagipun aku belum dapat momentum sepenuhnya untuk menulis walaupun aku kira banyak juga peristiwa besar yang berlaku di sekeliling aku di pelbagai peringkat antaranya 3 pilihanraya Kecil, Perang Tempoyak yang belum berkesudahan, PM Baru, Perhimpunan Agung UMNO, Kabinet Baru dan sebagainya.

Namun yang paling baru bagi aku tentunya bilangan ahli keluarga aku yang baru sahaja bertambah dengan kelahiran anak saudara terbaru aku. Sehingga artikel ini ditulis, kakak aku yang sulung ( Kak Reny) belum lagi dapat sepenuhnya nama anaknya tu. So far baru dapat Mohd Zikri **** bin Erekhsham. Dia cakap nak letak satu lagi nama belakang nama Zikri tu. Aku sempat balik ke Machang minggu lepas untuk join majlis kenduri cukur jambul anak sedara aku tu. Alhamdulilah majlis telah berlangsung dengan jayanya. Tetamu yang hadir pun ramai, lebih 100 orang. Tapi yang paling seronok aku dapat jumpa sedara mara yang dah agak lama tak jumpa. Mak Ayah aku pun nampak sangat happy dengan kelahiran cucu baru diorang cuma diorang ada jugak la bersungut bila pulak diorang nak dapat menantu baru... heheheh... Sabar ye mak, insya Allah. Tak hujung tahun ni, tahun depan pun boleh...huhu.. Bak kata budak-budak dalam friendster, Anakanda masih dalam status "it's complicated" .. Namun percayalah anakanda memang punya perancangan ke arah itu. Umur pun dah 27 tahun..memang sesuai sangat dah pun untuk kawin.. So doakan saja...

So untuk menutup artikel kali ni aku nak kongsikan dengan korang semua satu lagu yang aku dok tengah suka dengar sekarang ni.Lagu ape? Korang dengar dan tengolah sendiri.Layan...


Tuesday, March 10, 2009

Puisi Dariku Untukmu

Assalamualaikum wbt... mohon maaf kepada teman-teman sebab dah lama tak posting. Kesibukan tugasan aku di office memang merencatkan sedikit kerancakan penulisan artikel di blog ini. Aku dan geng Nasyeed.Com baru je selesai mengendalikan event Maulidurrasul peringkat Negeri Selangor. Hampir seminggu lebih kami asyik stay up.Aku lebih banyak backup kerja-kerja studio dan multimedia presentation terutamanya dari sudut penyediaan skrip dan rakaman voice over. Selepas mencuba beberapa personaliti akhirnya pihak JAIS minta aku guna suara aku sendiri untuk rakaman voiceover dan bacaan ayat suci Al-Quran. Apapun yang lebih istimewa bagi aku, puisi yang aku nukilkan sendiri terpilih untuk dideklamasikan sempena sambutan tersebut oleh personaliti terkenal iaitu Dato Rahim Razali.So kali ni aku nak kongsikan puisi tu untuk tatapan teman-teman sekalian


SIRAH PERJUANGAN


Ya Rasulullah
Obor perjuanganmu masih menyala
Kehangatan kasihmu mash terasa
Walau lebih seabad dikau kembali mengadap-Nya
Tidak sesaat mahupun sedetik kami terlupa

Satu ketika di bumi Taif
Dikau dihina malah dicerca oleh merekak yang naif
Jasadmu dilontar batu, najis segala
Seruan sucimu menjadi bahan jenaka
Hanya tabah dan sabar menjadi senjata
Marah, dendam,
Jauh sekali dari bicara

Ya Habiballah
Sebelum kedatanganmu sebagai Rasul
Bumi Hijjaz masih dirundung kegelapan
Umat Arab hidup dibelenggu kejahilan
Arak pembunuhan, penzinaan menjadi mainan
Hingga anak dibunuh kerana dia perempuan

Namun itu semua tiada lagi dari pandangan
Kehinaan kini bertukar kemuliaan
Terhapus kemungkaran, muncul kebaikan
Maha benar firman Ar Rahman
Tiada sebab lain kau diutuskan
Melainkan utuk membawa rahmat ke seluruh alam

Nukilan : Razin Mestica
7 Rabiul Awal 1430 / 4 Mac 2009M

Deklamator: Dato' Rahim Razali

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...