Friday, February 13, 2009

Sukanya Dier..

Aku baru je balik ofis. Tadi aku ke Jabatan Mufti dengan Mass, settlekan pasal wording untuk sajak dan syair untuk persembahan sempena Sambutan Maulidurrasul peringkat Selangor. Aku puji cara Jabatan Agama Islam Selangor yang teliti soal pemilihan bahan untuk persembahan terutamanya melibatkan acara-acara rasmi kerajaan negeri. Lagu-lagu nasyid juga dipilih dengan teliti terutamanya dari sudut liriknya. Lagu nasyid yang berkaitan dengan sejarah dan sirah aku tengok yang selalunya sangkut terutamanya kisah-kisah Israiliyat atau cerita yang diragui sumbernya. Yang buat tapisan pun bukan pegawai biasa. Tadi pun kami jumpa Dato Timbalan Mufti sendiri.

Sebelum aku keluar ofis tadi, budak-budak kat ofis dah kecoh Majalah Nur bulan Mac dah keluar. Bukannya apa Nur kali ni special sikit sebab Mass yang jadi cover girl. Kiranya dia terpilih la untuk pertandingan pencarian covergirl Nur tu. Lebih kurang pukul 4.30 petang aku dan Mass bergerak ke Jabatan Mufti. "Abang Razin jom aa pi kedai dulu beli Majalah Nur tu", Mass bersuara. Aku yang ketika tu baru je nak masuk kereta pun membalas, "Rilek la, lepas pegi Jabatan Mufti kita pegi la beli. Tak larinya majalah tu." Mass nampaknya begitu teruja. Ye lah orang dapat jadi cover girl mestilah seronok. Bukan semua orang dapat peluang macam tu. Aku yang dah ada 3 album pun tak pernah dapat cover page. Tapi ta pelik la sebab aku bukan handsome pun. Manis tu ada la...hahahaha...Muka yang mengisi cover page ni kena la cantik dan handsome. Kalau tak, kirim salam jelah..huhu..

Aku ngan Mass kat Pejabat Timbalan Mufti lebih kurang 10 minit je. Lepas semuanya settle, kami terus ke Seksyen 2 untuk cari majalah tu. Turun je dari kereta, aku dan Mass terus ke kedai runcit Rahmat yang agak famous di kalangan student UiTM zaman batch aku dulu. Masa berjalan tu aku perasan ade beberapa pasang mata yang dok usha kami. Aku balas pandangan mereka dengan senyuman dan senyuman aku tu berbalas. Masuk je kedai Rahmat, aku ngan Mas terus cari Majalah Nur kat tapi tak jumpa. Sedang aku buat "scanning" kali kedua ada suara menyapa, " Abang Razin, buat apa kat sini?".. Kebetulan lepas je dia menyapa aku terus terpandang Majalah Nur kat rak. " Abang cari ni.." sambil aku menunjukkan Majalah Nur yang aku pegang."Oooo..." jawap mamat sorang. Aku terus je bagi majalah yang baru aku jumpa tu kat Mass. Mula-mula aku tak dapat recall siapa yang sebenarnya mamat 2-3 orang yang tegur aku ni. Then baru lah aku perasan, diorang ni kalau tak silap aku JPK Kolej Perindu yang aku jumpa minggu lepas.

"Siapa ni bang? kenalkan la..", "Ooo.. ni kawan abg, Kak Mas. Dia kat Nasyeed.Com gak. Dia jadi cover girl majalah ni. Tu yang beli sampai 3 tu." jawapku menghilangkan kehairanan mereka. Tiba-tiba keluar soalan nakal,"Ooo.. ni kira bakal orang rumah la yer?" "Buat masa ni no komen..hehe" jawap aku sambil tersenyum. Mass menyampuk,"Kitorang ni kawan je..hehehe"... "Ala kak, semua artis cakap macam tu...hehehe" balas diorang. "Bang, jangan lupa bawak akak sekali time show nanti." Aku membalas "Insya Allah". Actually 14 Mac nanti, aku ada show kat UiTM sempena Festival Nasyid UiTM. "Ok bang pegi dulu", diorang meminta diri.Sambil bersalaman aku membalas, "Jumpa nanti ye.."

Masa kat kaunter pulak sekali lagi aku ditegur, "Banyak beli majalah?". Aku selamba membalas "Tu ha, muka dia kat cover majalah tu". Mass tersenyum. Brother yang jaga kaunter tu pun ambik majalah dan menilik. "A ah, betul la". Mass selamba je ambik handphone dia dan mintak aku ambik gambar dia berposing dengan majalah Nur kat dalam Kedai Rahmat tu. "Sukanye dier..." hatiku berbisik. Layan jelah. Orang tengah happy ni kena support. Aku pun tumpang gembira sekali bila tengok kengkawan happy.

Masuk je kereta aku hidupkan enjin, pasang aircond segala tapi kereta tak bergerak jugak. Bukannya apa, sebab masing-masing dok belek majalah baca interview cover girl tu sambil menyedut air kotak di tangan. Habis baca aku terus memandu pulang tapi Mass kat sebelah aku masih tak abis-abis baca interview dia. Then dia call mama dia, abang dia, dan ada lagi la beberapa sedara mara dan teman rapat dia (agaknya la). Aku hanya mendengar je perbualan rancak mereka sambil memandu.huhu.. Happy betul dia nampaknya.. Sampai je kat ofis, geng-geng ofis pulak kecoh. Semua pakat nak tengok gambar Mass kat Majalah Nur. Kira memang selebriti habis Mass hari ni..huhu

Namun dalam keriangan tu, ada juga berita sedih yang kami hadapi hari tu. Aji Wildan kehilangan nenda tercinta subuh tadi. Aku, Abang Zaidi dan Zul sempat menziarahi keluarganya dan bersama-sama menunaikan solat jenazah di Meru. Hari ni juga hari terakhir technician studio Nasyeed.Com yakni Alang bertugas ni. Dia akan berhijrah ke tempat kerja baru. Aku doakan Alang aka Wafiz akan suksess di tempat baru nanti.Amin..


Thursday, February 12, 2009

Cinta Daun Kayu


"Oghe tino gak jeng beghak bena. Jenih cinto daung kayu. Mudoh nok bbegha.Kalu dio dok jauh nga kito pah dio segho sunyi pahtu pulok ado pulok oghe lain bui perhatie mulolah dio buat peghanga. Doh jadi bini oghe pun buleh ugoh.Kito oghe jate nih kok mano-mano pun, de kito janji kito tok caghi hok lain doh. Maghi la hok sepuloh kali lagi comey, lagi kayo, lagi panda pun. Janji kok mano-mano pun kito pegey." Itulah antara isu luahan hati sorang member lama aku bila aku borak ngan dia lepas practice dikir di Perindu tempoh hari. Lama jugak aku lepak ngan Jerk kat dataran perindu tu sambil borak-borak walaupun masing-masing berdiri. Maklumlah dah lama tak jumpa. O ye, bagi mereka yang tak faham dialek Kelantan kat atas tu biar aku terjemahkan..... "Perempuan ni jeng (nama aku la tu) teruk sikit. Jenis cinta daun kayu. Mudah nak terlerai/hancur. Kalau diorang jauh dengan kita dan dia terasa sunyi then ada pulak orang lain beri perhatian mulalah dia buat perangai. Dah jadi isteri orang pun boleh tergugat (cintanya pada suami). Kita orang lelaki ni, walau macam manapun bila kita dah berjanji kita takkan cari yang lain. Datang la (perempuan lain) sepuluh kali lebih cantik, lagi kaya, lagi pandai pun. Janji akan tetap kita pegang"....... huh camne? dah faham kan..huhu


Dalam erti kata lain sebahagian perkara yang kami sembangkan lebih kurang pukul 2 pagi tu berkisarkan tentang kesetiaan dalam percintaan. Hahaha..berat kan bunyinya?Ade ke orang lepak malam-malam sambil sembang benda "berat" camtu?huhuhu... Actually, ada la lagi cerita-cerita sebelum tu yang menyebabkan timbulnya isu ini.Tapi aku nak cerita pun panjang sangat nanti. Yang penting aku nak ceritakan intipatinya. Aku bukanlah nak bersifat sexist walaupun ayat-ayat dalam dialog di atas agak berat sebelah bunyinya. Namun hakikatnya berdasarkan pengalaman kawan-kawan dan pengamatan kisah yang berlaku di sekeliling kitorang, itulah yang terjadi. Cinta seorang wanita kepada kekasihnya, tunangnya mahupun suami ni agak mudah tergugat. Apatah lagi dalam keadaan secara geografinya berjauhan daripada insan yang dicintai. Dari pemerhatian aku sendiri, perempuan ni lebih mudah rapat, mesra mahupun menyintai orang yang secara fizikalnya dekat dengan dirinya. Pendek kata dalam kes cinta jarak jauh perempuan ni mudah goyang dari sudut kesetiaannya.Yakni potensi untuk curang tu agak tinggi. Bukan niat aku untuk menyinggung kaum hawa tapi konklusi itu aku buat berdasarkan cerita-cerita yang berlaku di sekeliling aku. Ya, mungkin ada juga lelaki yang curang dan tak setia tapi perkara tu tidak pernah aku dengar dalam konteks pengalaman dan cerita yang berlaku disekeliling aku terutamanya di kalangan kawan-kawan.

Apapun alasannya, perbuatan curang dan tidak setia dalam perhubungan merupakan satu perkara sama sekali tidak boleh diterima. ....."Ayang jadi macam ni sebab Abang jugak! Abang biarkan ayang sepi sensorang kat sini. Abang tak pernah nak bagi sepenuh kasih sayang dan perhatian kat ayang.Abang asyik sibuk dengan kerja dan business Abang. Ayang sunyi tahu tak! Selama ni Daudlah(takde kena mengena dengan mana-mana Daud.ni contoh je) yang melaksanakan tugas yang sepatutnya Abang lakukan!!"..... Huhuhu.. macam drama pulak bunyinya, tapi itulah antara dialog yang mungkin popular bila si perempuan yang curang ni kantoi dengan suami, tunang mahupun pakwe dia. Suka aku tegaskan sekali lagi, curang atau tidak jujur pada pasangan merupakan satu perbuatan yang tercela dan langsung tidak boleh diterima walaupun apa alasannya. Sama jugalah dengan perbuatan merompak. Walaupun alasan merompak itu adalah untuk bersedekah mahupun menolong perjuangan Islam sekalipun, ianya tetap salah. Begitulah juga dalam perhubungan, apatah lagi jika si isteri curang kepada suami atau sebaliknya. Nauzubillah...

Aku mohon maaf sekali lagi jika ada pihak yang kurang senang dengan artikel ini. Aku cuma cuba berkongsi sedikit pengalaman dan pengetahuan untuk manfaat semua. Semoga Allah memberi kita hidayah dan melindungi kita daripada perbuatan yang tercela. Amin..

Kembali ke bong dikir

Agak lama juga aku menyepi dari menulis kat blog ini. Banyak keje yang perlu disettlekan. Aku mohon maaf kepada teman-teman yang datang jenguk aku kat sini tapi hampa sebab blog tidak diupdate. Minggu lepas buat pertama kalinya sejak 2 tahun aku kembali ke bong dikir barat. Bong ni dalam bahasa standardnya merujuk kepada gelanggang atau panggung. Actually Mat Min member lama aku yang baru sambung belajar kat UiTM yang mengetuai Kelab Dikir Barat Sri Perindu sekarang call aku. Diorang mintak tolong aku jadi Jogho untuk show kat hotel Blue Wave Shah Alam di depan Dato Mustapha Mohamed dan ramai lagi tokoh-tokoh korporat Kelantan. Antara yang aku perasan hadir Dato Awang Adek, Dato Pahamin Rejab( Air Asia), Dato Nadzmi Salleh (NadiCorp) dan Dato Abdul Hadi Awang Kechil (PLKN). Program ni acually anjuran Himpunan Siswazah Kelantan (HIMSAK) iaitu satu NGO yang menggabungkan graduan-graduan daripada Kelantan. Presidennya sekarang iaitu Faizal Daud yang aku panggil Peja sebilik ngan aku time Diploma dulu. Kira kawan lama jugak la.

Opps lupa lak nak sambung cerita. Mat Min minta tolong aku join show tu sebab Mariee (jogho diorang) ade hal malam tu. Mulanya aku berat hati gak nak terima offer tu sebab aku ada event di IIC pada malam yang sama. Namun memandangkan aku pun nak "pelepah angin" sebab dah lama tak buat show dikir, aku join jugak lah. Malam tu aku nyanyi 2 lagu iaitu "Cubalah Tanya" dan "Gadis Kelate". Sebelum show, aku sempat practice dengan diorang sekali je iaitu petang sebelum show. Tapi alhamdulilah semuanya berjalan lancar. Kembalinya aku ke "Bong Dikir" ni juga memberi peluang kepada aku untuk berjumpa ramai geng lama terutamanya di kalangan anak kelate. Zulazri@Jerk@Sokor, Wan Rahiman, Nazri Michael, Nazri Rantau Panjang, Edie, Peja dan ramai lagi. Malangnya aku tak dapat nak lepak lama ngan diorang sebab selepas turun je pentas aku terus bergegas ke kereta untuk pergi ke IIC. Dalam usaha aku untuk "rushing"ke Batu Caves, kereta aku pulak buat hal. Alarm kereta rosak. Nasib baik la budak-budak dikir dan Jerk tolong aku. So dapat lah jugak aku ke IIC walaupun terpaksa menempuh jalan yang sesak teruk sebab Thaipusam.Apapun aku harap aku berpeluang lagi untuk join ngan bebudak Sri Perindu...

Wednesday, February 4, 2009

Gitar: Pertikaian Yang Belum Selesai?

Dalam satu program, kumpulan nasyid di bawah naungan Nasyeed.Com iaitu Algebra telah dijemput untuk membuat persembahan namun akhirnya terpaksa menarik diri kerana terdapat pertikaian berhubung soal penggunaan gitar oleh Algebra. Sebagai kumpulan nasyid yang tampil dalam bentuk band, Algebra sememangnya menggunakan instrument yang dimainkan secara live seperti gitar, dram, keybord dan sebagainya. Apabila isu penggunaan gitar yang dianggap haram ini dibangkitlah oleh salah seorang jawatankuasa penganjur, aku agak terkejut kerana menjangkakan isu ini telah lama selesai. Penggunaan alat muzik bertali ini dalam irama nasyid kontemporari boleh dikatakan bermula sejak terbitnya album sulung Inteam berjudul Kasih Kekasih yang menggunakan alat muzik bertali berasal dari iaitu Mendolin. Namun pada ketika itu isu penggunaan alat muzik bertali ini agak tenggelam dengan isu kewajaran subjek percintaan remaja disentuh dalam lagu nasyid.


Sebelum kami yakni para penggiat nasyid memutuskan untuk meluaskan penggunaan instrumen muzik selain daripada percussions, kami telah merujuk kepada ulama-ulama yang dihormati di Malaysia untuk mendapatkan pandangan mereka. Hampir kesemua ulama yang kami temui mengatakan bahawa secara umumnya penggunaan sebarang instrumen muzik adalah harus asalkan ia digunakan untuk tujuan yang baik. Analoginya mudah, penggunaan pisau di dapur untuk memotong sayur adalah harus namun jika pisau yang sama digunakan untuk membunuh insan yang lain maka ia akan menjadi haram. Malah ada juga antara ulama ini juga mempunyai kemahiran dan minat bermain instrumen sebegini. Tetapi soalnya mengapa ulama terdahulu ada yang mengharamkan alat muzik bertali dan tiupan? Imam Al Ghazali melalui bukunya bertajuk Adab Mendengar Irama dan Lagu ada menjelaskan bahawa pengharaman instrumen-instrumen tersebut adalah kerana pada satu ketika ia menjadi syiar atau lambang kepada golongan fasik dan bukan kerana zat instrument itu sendiri. Pendek kata pada waktu itu, sesiapa yang bermain alat muzik bertali dan tiupan pastinya tergolong dalam golongan fasik. Namun dalam suasana hari ini takrifan itu tidak boleh digunakan lagi. Dewasa ini, kita sendiri pun tidak akan sewenang-wenangnya mengatakan sesiapa yang menggunakan alat muzik bertali atau tiupan adalah fasik.

Walau bagaimanapun aku tetap menghormati pandangan golongan yang berpendapat sebaliknya.Cuma apa yang diharapkan, mereka juga menghormati ijtihad yang kami pegang dan tidak menghalang kami berkarya dengan cara kami tersendiri. Lagipun apa yang didebatkan ini adalah khilaf dan bukanlah perkara dasar yang boleh menjejaskan akidah. Semoga kita semua mendapat petunjuk Allah SWT.

Sunday, February 1, 2009

Sunyi, Bosan dan Geng

Lately aku rasa sunyi sangat. Walaupun hakikatnya aku sibuk dengan banak tugasan di pejabat namun semua tu tak dapat mengubat kesunyian yang aku tiba-tiba rasa ni. Nasib baik jugaklah aku ada ramai kawan dan kenalan. Aku ada banyak la jugak "geng". Ada geng nasyid, geng dikir, geng MBA, geng UiTM, geng semesdian, geng kelate, geng business dan sebagainya. Dengan bergaul dengan pelbagai orang dari pelbagai latar belakang aku belajar banyak benda. Dulu aku ada gak join budak-budak silat tapi sekarang ni dah lama lost contact. Yelah aku pun dah terlalu lama tak turun ke gelanggang. Uniform silat pun dah tak tahu ke mana. Cuma "nachaku" yang masih tergantung kat bilik aku. Member zaman UiTM pulak jarang sangat aku jumpa sekarang ni. Maklumlah masing-masing sibuk.Raduan, Yus,Misab, Din, Richard, Tajul, Apis, Abe Wae.. ni semua antara orang-orang yang selalu lepak ngan aku zaman kat Puncak Perdana dulu. Zaman kat Perindu pulak Mat Ju, Pein, Awie, Mat Kilau,Mat Min, Jalil ni semua antara geng dikir /kelate yang memang "kkacik" ngan aku. Budak-budak MBA pun jarang-jarang sangat dapat jumpa. Yelah masing-masing ada komitmen. Yang kerja-kerja, yang further study kat overseas pun ramai.Kelmarin aku jumpa Atikah, kawan MBA aku yang tengah cuti dari study dia kat aussie. Thanks Tik sebab bawak balik cenderamata untuk aku. Ingat lagi ko kat aku.huhuhu..

Yang setiap hari aku dok mengadap sekarang ni kebanyakannya adalah geng-geng nasyid dan kawan-kawan business aku. Maklumlah company aku pun memang buat show biz pun. Terdekat ni aku plan nak masuk panggung dikir balik dengan team Sri Perindu. Lamo doh tok pelepah angin.Nasib baik Mat Min ada lagi kat Perindu tu. Boleh juga jadi middleman menghubungkan aku dengan team dikir yang ada sekarang. Aku pun nak mintak maaf kat Mat Min ngan Golok sebab tak sempat nak jumpa sebelum balik raya cina baru ni. Tapi insya allah aku akan muncul di Perindu sedikit masa lagi maka boleh la kita bersua semula di "bong dikir".

Kawan-kawan yang ramai ni sedikit sebanyak boleh menghilangkan kesunyian aku ni walaupun tidaklah secara total. Kesunyian masih aku rasa sampai sekarang. Hahahahaha.... Mungkin korang boleh agak sebab apa. "Lu Kawin saja la kawan!" itulah Ratno akan cakap kat aku kalau sebut pasal benda ni semua. Insya Allah akan tiba juga saat itu nanti. Tapi siapa calonnya???!! Hanya Allah saja yang tahu...

Saturday, January 24, 2009

Nasyid: Berdakwah atau Berniaga

Berdakwah atau berniaga???.. Hmm.. Rasulullah SAW juga berniaga dan baginda juga adalah orang yang bertanggungjawab mengembangkan syariat ALLAH dimuka bumi ini. Boleh kita katakan kedua-dua perkara boleh berlaku serentak.

Dewasa ini semua perkara di atas muka bumi ini memerlukan duit. Pendek kata duit bukanlah segala-galanya TETAPI segala-galanya memerlukan duit. Setiap pekerjaan yang dilakukan berhak mendapat upahnya. Adakah kita nak mengatakan para ustaz dan guru yang mengajar di sekolah, di surau atau di mana sahaja tidak berhak mendapat gaji di atas penat lelah mereka mendidik pelajarnya? Walhal mereka mendukung amanah yang besar dalam mendidik anak bangsa menjadi individu yang cemerlang di dunia dan akhirat. Tentunya mereka berhak di atas apa yang diusahakan. Tanpa gaji atau pendapatan mana mungkin mereka mampu menampung kos hidup yang cukup tinggi ketika ini sekaligus menyebabkan mereka juga tidak dapat menjalankan amanah yang besar itu.

Begitu jugalah para penasyid hari ini. Kami mengeluarkan kos yang tinggi untuk sesuatu album. Kos produksi sahaja untuk sebuah album mencecah 30 hingga 50 ribu. Kos promosi pula biasanya 2 kali ganda daripada kos produksi yakni antara 60 hingga 100 ribu ringgit. Itu pun belum masuk kos percetakan CD. Jadi kos kasar penghasilan album adalah antara 90 hingga 150 ribu ringgit. Dari manakah para penasyid mendapat modal pusingan untuk merakamkan album-album seterusnya sekiranya bukan daripada jualan album dan persembahan pentas?

Ya memang kami tidak dapat menghalang para pendengar untuk membeli cetak rompak atau memuat turun daripada internet. Apa yang kami boleh lakukan hanyalah memberikan kesedaran kepada para pendengar agar menyokong industri hiburan Islam yang ada pada hari ini agar ianya terus hidup dan tidak berkubur. Jika ianya tidak disokong, maka mana mungkin kami mampu terus menghasilkan produk-produk bersifat edutainment untuk masyarakat umumnya. Sekiranya kami mempunyai penaja atau sumber kewangan yang tetap dan besar untuk terus menyokong aktiviti nasyid ini nescaya kami tiada masalah untuk mengedarkannya secara PERCUMA sahaja.

Sebab itulah kami di Persatuan Penggiat Industi Nasyid Malaysia menggalakkan para penasyid supaya menceburi bidang perniagaan dan menjadi usahawan agar kami tidak menjadikan aktviti nasyid sebagai sumber pendapatan yang utama. Adalah menjadi hasrat kami agar suatu hari nanti aktiviti nasyid hanya menjadi satu sumbangan percuma kami kepada masyarakat dengan adanya dana yang kukuh untuk kami menjalankan aktiviti seni kami.

Aku tidak mahu menyentuh soal halal atau haram aktiviti cetak rompak ini kerana aku percaya majoriti individu faham mengenainya. Nama pun rompak, tentunya ianya satu sumber yang tidak halal. Ya, mungkin dengan cetak rompak mesejnya akan lebih mudah sampai kepada masyarakat tetapi adakah kita rasa sesuatu yang kita dapat daripada sumber yang tidak halal itu akan memberi kesan yang baik kepada pendengarnya? Sebagai muslim yang mukmin tentunya kita tidak mengamalkan falsafah Mancheveli yakni matlamat menghalalkan cara. Tak gitu??

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...