Wednesday, October 1, 2014

Belasungkawa: Al Fadhil Ustaz Sohibul Fadhil Sabikin

Dunia nasyid Malaysia baru sahaja kehilangan seorang tokoh besar yang boleh dianggap sebagai bapa, guru dan abang kepada kami semua kumpulan nasyid. Beliau juga sebelum ini pernah menyandang jawatan sebagai Pengerusi Majlis Usahawan Nasyid Malaysia atau lebih dikenali MUNSYID Malaysia yang mana saya sendiri adalah setiausahanya sebelum beliau terpaksa melepaskan jawatan atas faktor kesihatan. Tokoh ini tidak lain dan tidak bukan adalah Almarhum Ustaz Sohibul Fadhil Hj Sabikin. Almarhum turut menggunakan nama B.Nury sebagai nama pena dalam hasil hampir semua hasil karya beliau.
Perginya sebutir bintang

Nama ini mungkin tidak begitu dikenali oleh khalayak umum namun beliau telah memberi sumbangan yang sangat besar kepada irama nasyid tempatan sejak era 80-an lagi. Beliau adalah antara orang yang bertanggungjawab dalam menubuhkan kumpulan nasyid Nadamurni dan The Zikr yang kemudiannya menjadi nukleus kepada kumpulan-kumpulan nasyid terkemuka hari ini seperti Rabbani, Hijjaz dan Raihan. Almarhum juga memanfaatkan penggunakan teknologi laser, sistem lampu dan sistem bunyi yang canggih sejak penghujung 80-an yang menjadikan Malam Puisi Islam atau Konsert Kesenian Islam yang dianjurkan berada dalam kelas yang tersendiri malah menarik minat ramai penonton.
Anugerah Khalifah Nasyid

Satu lagi perkara sumbangan yang memberi impak yang sangat besar kepada irama nasyid Malaysia ialah penerbitan lagu "Pergi Tak Kembali "oleh kumpulan Rabbani. Almarhum bertanggungjawab memujuk Almarhum Ustaz Asri Ibrahim vokalis Rabbani yang pada mulanya keberatan untuk menyanyikan lagu tersebut kerana susunan muziknya yang dianggap tidak sesuai bagi sebuah lagu nasyid. Namun akhirnya, lagu tersebut telah mendapat sambutan yang luar biasa daripada masyarakat malah menjadi siulan anak-anak muda. Ia juga secara tidak langsung memberi nafas dan dimensi baru kepada irama nasyid tempatan. Sebagai menghargai sumbangan besar dalam lapangan nasyid, beliau telah diangkat menerima anugerah Khalifah Nasyid sempena Anugerah Nasyeed.Com 2012 yang disiarkan secara langsung di TV Al Hijrah.
Semoga Allah menempatkan Almarhum Ustaz Sohibul Fadhil Sabikin di kalangan orang-orang yang beriman dan soleh serta segala sumbangan almarhum dalam lapangan seni khususnya nasyid akan diangkat menjadi amalan yang membuahkan pahala buat almarhum oleh Allah SWT. Al fatihah...

Tuesday, September 23, 2014

Terima Kasih Khalid Ibrahim, Tahniah Azmin Ali

Pagi ini, Menteri Besar Selangor yang baru akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan DYMM Sultan Selangor sekaligus menamatkan krisis yang telah membawa keributan besar kepada parti-parti dalam Pakatan Rakyat khususnya PAS. Lihat saja apa yang berlaku dalam muktamar PAS baru-baru ini yang memperlihatkan 'pergaduhan besar' antara perwakilan. Seingat saya tidak pernah lagi insiden merampas microphon, pembahas di'boo' dan doa laknat berlaku dalam mana-mana muktamar sebelum ini. Presiden PAS  malah Majlis Syura Ulama juga dikritik secara terbuka baik di media sosial, media arus perdana, mahupun di pentas forum serta ceramah. Begitulah hebatnya penangan krisis MB Selangor kali ini.

Dari Khalid Ibrahim kepada Azmin Ali

Dengan pelantikan YB Azmin Ali yang juga ADUN Bukit Antarabangsa sebagai Menteri Besar Selangor yang baru, diharapkan kemelut yang berlaku ini akan tamat serta merta biarpun jelas sekali bahawa pemilihan Azmin Ali masih kurang disenangi oleh parti beliau sendiri. Ini dapat dilihat melalui kenyataan media yang dibuat Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah yang menjadi calon tunggal MB Selangor bagi PKR dan DAP sebelum ini. Bagi saya ini tidak sepatutnya berlaku atas 2 faktor. Pertama, Tan Sri Khalid berjaya diturunkan sebagaimana yang dikehendaki mereka.Kedua, ADUN yang dipilih Sultan tetap ADUN PKR malah orang nombor dua parti. Kecualilah Wan Azizah perlu menjadi MB atas agenda besar tersembunyi suaminya yang juga Ketua Umum PKR. Jangan pula selepas ini Azmin pula diganggu dan ditekan demi memenuhi agenda pihak-pihak berkepentingan.

Langkah Kajang gagal 

Krisis MB ini juga memberi pengajaran berguna buat Anwar bahawa dia bukanlah sekuat sebagaimana yang digembar gemburkan. Dia tak mampu memaksa Azmin Ali menolak pelantikan dan memberi laluan kepada isterinya kerana dia sedar Azmin punya kelompok penyokongnya tersendiri termasuk di kalangan ADUN PKR Selangor. Keadaan mungkin berbeza sekiranya ADUN Pas yang dipilih Sultan kerana Anwar sedar Azizah tetap mendapat sokongan majoriti di DUN Selangor, Namun selepas nama Azmin yang naik, sokongan terhadap Azizah telah berpecah dua. Harus diingat juga bahawa Azmin adalah calon MB bagi PAS bukan PKR dan tentunya pandangan PAS juga akan dianggap penting dalam dasar-dasar yang bakal diterapkan dalam pentadbiran yang diterajui Azmin nanti sebagai menghargai sokongan PAS.

"Terima kasih Ayoh Chik!"... mungkin itulah yang dikatakan Azmin

Di hari terakhir tugas beliau sebagai Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dilihat begitu tenang dan gembira. Saya sempat menonton temubual beliau dalam Agenda Awani yang dirakamkan di pejabat Menteri Besar pada jam-jam terakhir beliau sebagai MB. Beliau kelihatan yakin dan sangat positif. Semua persoalan dijawap dengan penuh professional tanpa dipengaruhi emosi. Saya kira memang layak beliau diangkat sebagai antara MB terbaik yang pernah dimiliki negeri Selangor. Satu majlis perpisahan ringkas turut diadakan oleh kakitangan SUK Selangor dan Exco sebagai satu tanda terima kasih atas khidmat beliau selama ini. Mungkin ramai lagi rakyat Selangor yang ingin mengucapkan terima kasih kepada beliau.

Kakitangan SUK Selangor mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Khalid

Saya mendoakan agar YB Azmin Ali yang bakal menjadi MB Selangor ke 15 akan mampu memikul amanah yang diberi dengan penuh tanggungjawab dan professional. Dasar-dasar positif yang dilaksanakan oleh Tan Sri Khalid wajar diteruskan malah ditambah baik. Apa yang kurang pula seharusnya diperbaiki demi kebaikan rakyat Selangor seluruhnya. 




Friday, September 5, 2014

Macam-Macam Nak Tulis Tapi.. Video Parody

Kalau ikutkan apa yang ada dalam kepala, macam-macam isu sebenarnya yang nak ditulis. Daripada krisis MB di Selangor, ISIS, bolasepak Piala Malaysia, nasyid, Harimau Malaya ke Sukan Asia, sampailah Piala AFF yang bakal berlangsung. Itu belum dicampur dengan pengalaman menghadiri beberapa acara yang saya kira elok juga dikongsikan demi manfaat bersama. Tapi tula kan, nak menulis ni bukan benda yang senang. Selain kena buat research, kita kena pastikan benda yang ditulis tu credible dan disokong dengan fakta yang kukuh. Maklumlah sekarang ni musim saman-menyaman.Sikit-sikit saman.. 

Apatah lagi sebagai blogger yang bertanggungjawap atas apa yang ditulis, saya tentunya tidak mahu terlibat dengan sebarang unsur fitnah dan perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah kepada para pembaca setia blog ini. Mungkin adakalanya saya bersikap sinis dan menggunakan pendekatan menyindir atau parody dalam mengupas sesuatu namun ianya tetap mempunyai asas dan tidak sekadar cakap-cakap kosong. 

Krisis MB Selangor yang di parodykan

Adakalanya cara parody khususnya dalam bentuk video, bukan sahaja lebih santai dan mudah difahami tetapi ia menarik minat golongan yang mungkin sebelumnya tidak berminat dengan isu tersebut. Tapi nak buat video parody ni bukan mudah.Bukan setakat nak kena cari bahan, tapi memerlukan skill editing video. Senang cerita, kena gigih la..huhu

Hanief.blogspot antara orang terawal yang rajin buat video parody politik

 Satu ketika dulu sebelum popularnya facebook, seorang blogger dikenali sebagai Hanief sering buat video-video parody berkenaan isu politik. Saya juga sering mengikuti karya-karya beliau di youtube. Saya tak pasti beliau masih aktif atau tidak.Yang saya tahu beliau pernah dikenakan tindakan undang-undang kerana kegiatan beliau di laman sosial.Mungkin ada video-video yang menyakitkan hati pihak lawan politik beliau namun saya yakin pada masa yang sama ianya juga boleh membuatkan mereka tergelak pada masa yang sama.

Monday, August 18, 2014

Calon Kompromi atau PRN

Mereka perlu mencari titik persamaan

Keputusan mesyuarat majlis presiden Pakatan Rakyat yang menolak cadangan PAS utk mencadangkan Azmin dan Azizah sebagai calon MB telah memberi nafas baru kepada Khalid utk terus memimpin Selangor.Istana sudah hampir pasti menolak Azizah utk menjadi MB Selangor.Malangnya Anwar tetap cuba memaksa Istana menerima Azizah.Kini jelaslah sekarang isunya Khalid dibuang bukan kerana tidak amanah atau tidak bagus tapi Anwar mahu Azizah jadi MB.Jika Anwar berkeras melawan hak Sultan sebagaimana termaktub dlm perlembagaan bermakna Anwar sengaja mencari nahas.Sementara Anwar dan Tuanku Sultan menemui titik persetujuan bersama,Khalid akan terus memimpin selangor sehingga pelantikan menteri besar baru atau DUN dibubarkan.Satu je pesanan kepada Anwar, orang Melayu ada 3 taboo yg tak boleh disentuh; Islam, bangsa dan RAJA..Ingat ye abg non!


Dr Idris Ahmad
ADUN Ijok
Pada masa yang sama saya berpendapat nama ADUN Ijok Dr.Idris Ahmad akan timbul seandainya Azmin dan Azizah ditolak pihak Istana di saat PAS pula menolak untuk mencalonkan mana-mana ADUN mereka sebagai MB. Jika PKR tidak bersedia untuk mencadangkan calon MB yang diperkenan Sultan maka DUN akan dibubarkan untuk pilihanraya negeri. PRN ni rasanya baik PR mahupun BN masing-masing akan cuba elak sebab jangkaan mereka, keputusan takkan banyak berubah. Ia hanya akan membazirkan duit dan masa sahaja. Kalau Anwar bijak, tentunya dia akan akur dengan kehendak Istana. Namun beliau akan tertanya-tanya juga, adakah Dr.Idris akan akur dengan kemahuan dan cita-cita politiknya?


Thursday, August 14, 2014

2 Adun PAS Isytihar Sokong Wan Azizah, Elok Anwarinas Isytihar sertai PKR


Apa yang didakwa sebelum ini bahawa wujudnya Anwarinas dalam PAS terbukti hari ini. Jika diperhatikan sejak Anwar dipecat daripada UMNO beliau telah menanam ejen-ejen beliau di dalam parti-parti politik untuk digunakan pada masa hadapan. Mereka ini da yang masih bersama UMNO, ada yang menyertai PAS dan tentunya ramai dalam PKR. Saari Sungip atau dikenali sebagai Abu Urwah di kalangan ahli JIM/Ikram sebenarnya pernah bertanding atas tiket PKR namun tewas. Beliau hanya berjaya menjadi YB selepas menyertai PAS.


Saya kira tibalah masa untuk PAS membersihkan jemaah mereka daripada Anwarinas ini demi keutuhan parti.Daripada pemerhatian saya, Anwarinas ini kebanyakannya datang daripada  mereka yang melalui sistem pentarbiyyahan JIM/IRC yang tentunya berbeza dengan pentarbiyyahan PAS. Lebih malang lagi, mereka-mereka ini diangkat menjadi "pemimpin segera" dalam PAS kerana "title" dan "kepakaran" mereka. Sedangkan dalam sesuatu jemaah, yang lebih penting adalah kesatuan dan kejelasan fikrah. Jika mereka tidak boleh menerima fikrah dan jalan PAS, mereka sepatutnya tidak boleh diangkat menjadi pemimpn. Jika tidak, inilah hasilnya..


Eloklah para Anwarinas berhenti berselindung di sebalik nama PAS untuk menjaga Anwar dan terus menyertai PKR. Senang sikit nanti, boleh terus bertanding atas tiket PKR dalam PRU akan datang. Jika dibiarkan terus mereka berada di dalam maka dikhuatiri maka mereka bukan sahaja terus menjaga kepentingan Anwar tetapi juga mencetuskan 'huru-hara' dalam parti.PAS yang tidak stabil baik untuk PKR menjadi Abang Besar Pakatan Rakyat.

Apapun sebelum penyokong "Suami Isteri" terkinja-kinja kegembiraan kerana berjaya merampas kerusi MB baik mereka  merenungi fakta ini:

Dengar beta nak cakap apa dulu

"Sultan Selangor mempunyai kuasa mutlak dalam dua perkara dan boleh membuat keputusan tanpa perlu nasihat iaitu yang pertama dalam hal pemilihan Menteri Besar dan kedua, soal pembubaran Dewan Undangan Negeri ;

Menurut artikel 53 (2) (a) pula, baginda boleh melantik seorang anggota Dewan Undangan Negeri ( DUN ) pada pandangan baginda yang mendapat keyakinan majoriti anggota DUN, selaku menteri besar.

Dibawah artikel 55 (2) (a) pula, dinyatakan baginda boleh menggunakan budi bicara dalam pelantikan seorang menteri besar.

So, kita minum duluuuu... :)

Friday, August 8, 2014

Apabila Juri Pun Tidak Tahu

Pada setiap tahun saya dan beberapa penasyid lain seringkali diminta oleh sekolah-sekolah tertentu untuk mencipta lagu dan lirik untuk pertandingan-pertandingan nasyid yang bakal hadapi. Selalunya, ada dua pertandingan nasyid utama yang disertai oleh sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu Festival Nasid Sekolah dan Pertandingan Nasyid sempena Pertandingan Seni Jauhi Dadah anjuran bersama KPM dan AADK. Ketika sesi perbincangan sebelum lagu dan lirik dibuat, saya telah diajukan dengan satu maklumat yang agak “mengejutkan” saya.

Bintang Nasyid Mukmin antara pertandingan nasyid yang
sangat teliti dari pemarkahan dan pemilihan juri
“En. Razin, ketika kami bertanding di peringkat kebangsaan tahun lepas, pihak juri telah memberitahu kami bahawa formula untuk mendapat markah yang tinggi dalam penciptaan lagu adalah dengan mencipta lagu yang tidak mempunyai melodi yang berulang..” Saya terus membalas, “ Sejak saya terlibat dalam industri nasyid, saya tidak pernah dengar formula sebegitu. Malah bagi saya ia bertentangan dengan karakter atau ciri asas bagi setiap lagu yang mempunyai verse dan chorus. Dan apabila kita sebut chorus, ia bermaksud melodi dan lirik yang berulang di dalam lagu yang menjadi intipati utama dalam sebuah lagu. Apatah lagi bagi sebuah lagu nasyid, chorus sangat penting untuk memastikan mesej lebih sampai dan melekat dalam benak penonton”.

Atas prinsip itu saya tetap mencipta lagu untuk mereka sebagaimana biasa tanpa menghiraukan apa yang diberitahu oleh juri kepada kumpulan nasyid tersebut. Namun demi menepati kehendak juri tahun lalu, mereka menggubah kembali lagu tersebut. Malangnya mereka tersingkir di peringkat awal pertandingan. Apabila ditanya kepada juri yang mengadili pertandingan pada tahun ini, pihak juri menyatakan perkara yang sama sebagaimana yang saya katakan.

FNS medan yang ditunggu-tunggu oleh setiap kumpulan nasyid sekolah
Saya dan rakan-rakan penasyid lain amat berterima kasih kepada semua pihak yang terus menganjurkan pertandingan-pertandingan nasyid di semua peringkat. Namun harapan kami agar biarlah ianya dirujuk kepada kalangan penasyid yang tentunya lebih memahami tentang irama nasyid itu sendiri agar tidak berlakunya salah faham atau kesilapan dari teknikal mahupun konsep dalam persembahan nasyid itu sendiri. Kita mahukan irama nasyid terus berada di landasan yang betul dan tidak dipesongkan secara tidak sengaja oleh individu yang kurang pengetahuan dalam bidang berkaitan. Perkara ini mengingatkan saya kepada sabda Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Al Bukhary yang bermaksud, “..Apabila sesuatu urusan itu diberikan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kehancurannya..” 

Thursday, August 7, 2014

Jika Israel Berdegil, HAMAS akan Kembali Menggempur

Ramai yang tidak menyedari bahawa esok 8 Ogos 2014, HAMAS dan Israel mungkin akan kembali bertempur sekiranya Israel terus berdegil untuk tidak memenuhi semua tuntutan HAMAS selepas berakhir genjatan senjata 72 jam.Biarpun Israel telah mengundurkan tentera mereka dari sempadan Gaza namun HAMAS mahukan Israel menghentikan kepungan tidak sah ke atas Gaza yang dilakukan secara haram sejak 2006 dengan jaminan. Tiada gunanya HAMAS meneruskan genjatan senjata sekiranya rakyat Gaza terus terkepung seperti sebelum ini. 



Pemimpin Israel memberi amaran, sekiranya HAMAS tidak menggugurkan tuntutan mereka maka Gaza akan diserang dengan lebih hebat. Namun HAMAS membalas dengan mengingatkan Israel bahawa mereka belum menggunakan sepenuhnya kekuatan, kecuali 10% dari apa yang dimiliki, dan HAMAS bersedia untuk perang jangka panjang. Hamas memberi amaran kepada Israel pertempuran yang bakal berlaku selepas "perdamaian sementara" ini tidak akan sama dengan pertempuran sebelum ini.Hamas menegaskan bahawa mereka di pihak yang menang dan Israel perlu menunaikan tuntutan mereka.


Pemimpin HAMAS, Mushir Al Masri mengatakan, "Nasihat kami kepada beratus - ratus ribu Zionis yang tinggal bersebelahan Gaza bahawa mereka tidak akan dapat kembali ke rumah - rumah mereka sekiranya Netanyahu tidak memenuhi syarat - syarat yang telah kami tetapkan."

MAJLIS SYURA PAS SOKONG KHALID DIKEKALKAN



Majlis Syura Ulamak PAS yang bersidang di Kota Bharu semalam membuat keputusan bahawa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim wajar dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor selagi tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah.

Dalam kenyataan yang ditandantangani Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan juga Timbalan Mursyidul Am Tuan Guru Datuk Dr Haron Din itu menyatakan, keputusan itu dibuat berasaskan hukum syarak dan melihat kepentingan rakyat yang mesti mendahului kepentingan individu dan parti.

Bagaimanapun kata kenyataan itu, jika sekiranya ada pertuduhan yang disabitkan bersalah kemudiannya oleh pihak yang berautoriti seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau mahkamah, maka Majlis Syura Ulamak bersedia untuk menilai kembali kedudukan Khalid.

Berikut adalah kenyataan penuh.

Kenyataan Majlis Syura Ulamak

Merujuk kepada Fasal 3 Perlembagaan PAS, bahawa dasar PAS ialah Islam, dan Fasal 6(2) bahawa antara usaha PAS adalah "memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariat serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara" ,

Maka, Majlis Syura Ulamak PAS yang telah bersidang pada 9 Syawal 1435 bersamaan 6 Ogos 2014 di Kota Bharu telah membuat keputusan berasaskan hukum syarak dan melihat kepentingan rakyat yang mesti mendahului kepentingan individu dan parti seperti berikut:

"Bahawa jawatan Menteri Besar Selangor adalah hak bersama yang telah dipersetujui oleh ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat untuk meneruskan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar di Selangor bagi penggal kedua selepas Pilihanraya Umum ke-13. Maka selagi tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah yang mewajarkan Menteri Besar itu digugurkan, Majlis Syura Ulamak PAS memutuskan untuk mengekalkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Jika sekiranya ada pertuduhan yang disabitkan bersalah kemudiannya oleh pihak yang berautoriti seperti SPRM atau Mahkamah maka Majlis Syura Ulamak bersedia untuk menilai kembali kedudukan beliau.

Majlis Syura Ulamak menegaskan sekali lagi bahawa PAS akan tetap istiqamah dengan dasar dan prinsip perjuangan Islam sebagaimana yang termaktub di dalam perlembagaannya dan terus memberi komitmen bersama Pakatan Rakyat .

Datuk Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat
Al-Mursyidul Am, Parti Islam Se-Malaysia

Datuk Dr Haron Din
Timbalan Al-Mursyidul Am, Parti Islam Se-Malaysia

Wednesday, August 6, 2014

PKR Dah Tanya, Khalid Pun Dah Jawab

SURAT TUNJUK SEBAB PKR KEPADA KHALID





JAWAPAN BALAS KHALID




Siapa Khianati Pakatan ; PAS atau PKR?

Mengapa sesetengah pihak menyalahkan reaksi pemimpin PAS kerana kononnya tidak menghormati kesepakatan PR sedangkan PKR yang lebih dulu tidak menghormati permuafakatan PR apabila mereka mengumumkan cadangan penukaran MB tanpa berbincang terlebih dahulu dengan pimpinan PR yang lain termasuk PAS. PKR pernah ditegur ketika "Kajang move" kerana melakukan perkara yang sama.Malangnya mereka tidak serik.

Khalid atau Anwar?

 Laporan yang disediakan Saifudin tentang dakwaan salah laku Khalid itu sepatutnya dibentangkan kepada pimpinan PR sebelum pengumuman dibuat supaya pemimpin PR sedia maklum. Reaksi TGHH dan TGNA menyanggah cadangan pertukaran MB adalah rekasi biasa dan logik kerana persepsi umum terhadap Khalid adalah baik malah beliau dilihat sebagai MB yang cemerlang untuk rakyat Selangor. Saya yakin sehingga ke saat ini Khalid masih mempunyai penyokong dengan jumlah yang cukup signifikan.Saya kira tiada siapapun boleh menafikan hakikat ini.

Panglima harapan Anwar
Tindakan PKR mengeluarkan surat tunjuk sebab selepas pengumuman penukaran MB dibuat juga seolah-olah menjatuhkan hukuman sebelum bicara terhadap Khalid. Ini seolah-olah menggambarkan penukaran MB ini bukanlah kerana salah laku Khalid tetapi kerana agenda lain. Surat tunjuk sebab dibuat hanya untuk mencari alasan kepada penyingkiran Khalid.

TGHH dan TGNA dikritik hebat oleh segelintir pihak kerana kononnya tiada semangat setiakawan dalam PR padahal PKR lah yang lebih dahulu membuat onar dan bertindak sedemikian. Jika Anwar dan PKR lebih bersabar dan teliti dalam tindakan maka takkan berlaku kemelut sebagaimana hari ini.Anwar tidak boleh berasa beliau punya kuasa veto dalam Pakatan Rakyat.

Nik Aziz dan Hadi hanya memberi reaksi jujur
Anwar jangan rasa terlalu selesa dan menganggap seluruh rakyat selangor berpihak kepada beliau dan PKR. Apatah lagi tindakan mencalonkan Wan Azizah sebagai MB hanya mengiyakan tanggapan bahawa Anwar mengamalkan nepotisme.Anwar kali ini dianggap pemangsa dan Khalid sebagai mangsa kerakusannya dan bukan sebaliknya.

Jadi siapa sebenarnya mengkhianati Pakatan Rakyat, PKR atau PAS?

Thursday, June 26, 2014

Apa Khabar Kesultanan Sulu Darul Islam?

Sultan Bantilan II
Telah lama saya tidak mendengar khabar berita daripada Kesultanan Sulu Darul Islam (SSDI) yang telah mengisytiharkan kemerdekaannya pada 18 November 2010 yang lalu. Blog utama yang menjadi saluran utama pemberitaan bagi SSDI dalam bahasa Melayu iaitu tausug-global.blogspot.com juga telah lama tidak dikemaskini. Bulan lepas saya ada terserempak dengan Bro Asree Sulu yang mengendalikan blog ini di Putrajaya namun tidak sempat bertegur sapa memandangkan dia sibuk melayan pelanggan beliau di gerai ilustrasinya ketika itu. 


Dan apabila saya sebut tentang Kesultanan Sulu, ia bukanlah merujuk kepada kelompok Kiram yang menyerang Sabah pada Mac tahun lalu. Sultan Sulu yang diamksudkan adalah Sultan Bantilan II yang didukung oleh rakyat Sulu yang menyertai United Tausug Citizens atau UTC. Kelompok ini boleh dikategorikan "mesra Malaysia" dan mereka berulang kali menegaskan bahawa mereka tidak sama sekali berhasrat menuntut Sabah kerana bagi mereka rakyat Sabah lebih 'makmur dan sejahtera' di dalam Malaysia. Saya sendiri pernah menulis beberapa artikel yang menyentuh khusus tentang kesultanan sulu melalui blog ini

Saya juga ada mendengar khabar angin berlaku sedikit krisis di kalangan pemimpin UTC yang merencatkan perancangan seterusnya selepas Sulu merdeka namun tidak dipastikan kesahihannya. Daripada laporan blog, satu-satunya perkara yang jelas dilakukan adalah penghasilan dinar dan dirham sulu yang diusahakan oleh Sheikh Umar Ibrahim Vadillo. Sama ada adakah ia berjaya dijadikan legal tender, hanya SSDI yang boleh memberikan jawapan. Begiru juga dengan persoalan yang saya ajukan dalam artikel sebelum ini sama ada Sulu berjaya menjadi negara yang merdeka secara hakiki. Jika kita rujuk kepada PBB tentunya kita akan dapati negara Sulu ini belum wujud sebagaimana yang dikatakan. Malah agensi-agensi berita juga tidak menyebutkan tentang mereka.

Dinar dan dirham SSDI

Apapun kita harapkan yang terbaik buat masyarakat sulu atau tausug. Mereka adalah saudara kita dan tiada apa yang boleh kita lakukan selain berdoa dan membantu mereka atas kemampuan yang kita ada.



Monday, June 23, 2014

KREATIVITI YANG TERPANDU

Draf Garis Panduan yang menjadi inti perbincangan
Baru-baru ini saya dan beberapa pimpinan Munsyid Malaysia telah dijemput untuk menghadiri bengkel pemerkasaan garis panduan hiburan Islam yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Turut dijemput adalah wakil agamawan termasuk mufti, pengamal media serta ahli akademik. Biarpun bengkel yang dijalankan dalam waktu yang singkat yakni hanya setengah hari, namun pelbagai isu berjaya juga dirungkai dan diketengahkan untuk diperhalusi. Malah dalam usrah Munsyid Malaysia sebelum ini juga ada ahli usrah yang melontarkan kebimbangan tentang tren “buat dulu, cari dalil kemudian..” Ini adalah sesuatu yang sangat salah dan perlu dielakkan. Dalam berkarya apatah lagi sebagai seorang Islam dan pengamal seni hiburan Islam, maka kita harus memastikan sesuaru karya yang ingin di persembahkan itu menepati syariah sebelum ia diketengahkan kepada masyarakat.

Usrah Munsyid Malaysia
Antara isu yang disentuh adalah isu zikir bermuzik dan penggunaan ayat-ayat Al quran dalam lagu nasyid mahupun doa yang dirakamkan secara berlagu serta diiringi muzik. Penggunaan potongan ayat Al quran dalam lagu nasyid bermuzik pernah ditegur secara terbuka oleh Al Fadhil Tan Sri Sheikh Haji Ismail Muhammad yang sememangnya sesuatu yang dilarang dalam Islam. Penggunaan ayat Al Quran hanya dibolehkan dalam kaedah Iqtibas yang didefinisikan sebagai percakapan atau ayat yang mengandungi sesuatu yang diambil daripada Al Quran atau Al hadis tanpa menyebutkan sumbernya. Namun ianya tetap mempunyai syarat yang ketat ( al-Khatib al-Qazwiny ).

Bro Hazamin Inteam ( Bendahari Munsyid ) dan Ustaz Amal
( Pemangku Pengerusi Munsyid)
Namun pendekatan yang paling selamat adalah tidak sesekali memasukkan muzik dalam apa juga zikir atau doa yang berasal daripada ayat Al-Quran. Namun malangnya telah ada album-album tertentu yang telah 'terlepas' untuk berada di pasaran. Tanpa menafikan kemerduan dan 'feel' yang lebih baik apabila doa dan zikir diiringi dengan muzik, saya secara peribadi sedikit gusar dan bimbang apabila pendekatan ini seolah-olah menyamai kaedah yang digunakan oleh rakan-rakan kita beragama Kristian yang menggunakan muzik dalam upacara-upacara doa dan sembahyang mereka. Ianya juga hakikatnya memberi satu ujian kepada para penggiat industri nasyid apabila album sebegini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan di pasaran. Maka dengan keadaan sebeginilah memungkinkan kita terdorong untuk mencari pendapat dan dalil yang membolehkan apa yang kita lakukan. Apapun sebagai karyawan seni Islam kita harus kembali kepada sumber hukum yakni Al Quran dan Sunnah serta pendapat ulamak muktabar dalam meletakkan garis pemisah antara yang haq dan batil.

Ahli bengkel.. Gambar saya memang takde la sebab jadi
tukang ambik gambar..hehe
Semoga Allah memberi kita taufik dan hidayah dalam menjalani hidup kita di dunia bagi menjamin kebahagiaan hidup kita di akhirat.

Wednesday, June 18, 2014

Ops Sawang XXX : Kekasih Halalmu by Noura

Perrrghhhhhhh! Sangat lama saya tak menulis di blog ni. Bukan setakat sawang sana sini, labah-labah pun siap beranak pinak beberapa generasi..hahaha.. Hmm.. itulah bila kita cub amenulis sesuatu yang berat dari segi isi dan kupasan maka kita perlu membuat rujukan dan homework. Jadi kalau homework gagal dibuat maka akan tertangguh  la artikel yang hendak ditulis..dan kalau dah penyakit malas datang dan ditambah dengan kepadatan jadual harian maka secara tidak langsung bersawanglah blog ni..hehehe..

Sebagaimana biasa, apabila nak dapatkan semula momentum penulisan, saya akan kupas perkara yang ringan. Kata orang sekarang, " Light - light je.. " Kali ni sebenarnya saya nak share satu videoclip yang saya kategorikan sebagai lagu Religi (ketuhanan) yang dinyanyikan sebuah kumpulan vokal wanita dari Indonesia. Kumpulan yang menggelarkan diri mereka Noura ini menjenamakan diri mereka sebagai  Hi-Pop (Kawan-kawan kita di Indonesia memang kaya dengan akronim..hehehe) atau group Hijabers Pop dengan konsep " Bersyiar dalam Syair". Melihat kepada "tagline" konsep mereka sebenarnya bagi saya ia tidaklah jauh daripada konsep irama nasyid itu sendiri. Cuma mungkin ia strategi pemasaran bagi menembusi golongan yang 'alergik' dengan istilah nasyid itu sendiri.


Lagu "Kekasih Halalmu" ini mempunyai melodi yang segar dan menepati citarasa remaja masa kini. Liriknya juga saya kira jelas maksudnya dan punya mesej yang positif. Ketika mula-mula "diperkenalkan" kepada video ini saya mula ditanya " Bang apa pandangan abang tentang lagu dan video ini? " Saya menjawap, " Dari pemerhatian saya lirik dan lagunya bagus baik dari segi melodi mahupun mesejnya. Pakaian penyanyinya juga walaupun "stylo" tapi tetap menutup aurat dengan sempurna.." "Tapi abang tak rasa gaya mereka dalam videoklip ni 'gedik' ke?", saya ditanya lagi.. Saya menjawap sambil tertawa kecil " Gedik ni subjektif..susah nak cakap...haha " Namun jauh disudut hati saya akui sedikit sebanyak agak bersetuju juga dengan pandangan itu. Mungkin jika pengarah video klip lebih sensitif dan cermat dalam mengolah storyline dan mengawal sedikit "aksi" penyanyi maka mungkin tiada "gangguan" yang akan timbul dalam videoklip ini.

Kelmarin, otai nasyid Abang Farihin Abd Fatah datang menziarahi saya di studio. Saya pertontonkan videoklip ini kepada beliau dan menimbulkan persoalan yang sama kepada beliau. Abg Farihin menjawap ringkas sambil tersenyum.. "Mungkin videoklip ini haram kepada kita tetapi halal bagi golongan remaja yang menjadi mad'u mereka.. tapi sebagai aktivis kita harus berfikir lebih jauh dari itu..cuba lihat nama production housenya.."

Sunday, March 2, 2014

HARIMAU MALAYA : DATO OKS LULUS UJIAN PERTAMA?


Semalam, seluruh peminat dan pemerhati bolasepak tanah air memberi tumpuan penuh kepada perlawanan persahabatan antarabangsa kelas A antara Malaysia dan Filipina. Saya kira sudah lama Malaysia tidak mengadakan perlawanan persabahatan berkelas A.. Pada era Dato K.Rajagopal menjadi jurulatih, beberapa perlawanan persahabatan yang pada mulanya diletakkan berstatus A akhirnya bertukar status apabila jurulatih menukar lebih daripada 6 pemain atas alasan 'eksperimen'. Perlawanan kelas A ini penting untuk mengumpul mata bagi menentukan ranking sesebuah pasukan. Pada masa ini, Malaysia berada  di kedudukan 150 dunia manakala Filipina pula berada pada tangga 127. Kedudukan terbaik yang pernah dicapai Malaysia adalah pada tahun 1993 di mana Malaysia berada di kedudukan 77 dunia. 

Lulus ujian pertama?
Namun perlawanan semalam  penting bukan hanya kerana  ianya berkelas A tetapi ia adalah perlawanan pertama pasukan kebangsaan di bawah Dato Ong Kim Swee selepas penyingkiran Dato K.Rajagopal yang dikecam hebat kerana merudumnya prestasi skuad Harimau Malaya dan sikapnya yang suka "bereksperimen" sambil memekakkan telinga dari mendengar keluhan dan pendapat orang lain terutamanya peminat. Boleh dikatakan persembahan skuad Harimau Malaya semalam sedikit berbeza dari sudut taktikal dan agak menghiburkan. Selain daripada penyudah tumpul di bahagian serangan dan beberapa kesilapan hantaran taraf budak sekolah yang dibuat barisan pertahanan, persembahan keseluruhan Malaysia wajar dipuji. 

Apabila senarai pelatih untuk perlawanan bertemu Filipina dan Yemen diumumkan, ramai peminat yang mempersoalkan mengapa pemain itu dan ini yang dianggap lebih layak tidak medapat 'call up'. Satu perkara yang mereka terlepas pandang adalah pilihan yang ada pada  Dato OKS hanyalah terhad kepada senarai 50 pemain yang didaftarkan untuk pusingan kelayakan Piala Asia oleh Rajagopal sebelum ini. Jika diberi pilihan, saya percaya akan ramai lagi muka baru yang akan dipanggil menyertai skuad kebangsaan berdasarkan prestasi semasa mereka. Namun malam semalam, kita dapat juga menonton pemain yang membuat penampilan pertama seperti Khairul Azhan ( penjaga gol Pahang ), Hafiz Kamal ( pemain tengah Pahang ) dan Bobby Gonzales ( penyerang PDRM ) beraksi dalam kesebelasan utama.

Piya perlu diberi lebih banyak peluang untuk beraksi

Walau bagaimanapun, penampilan yang paling ditunggu peminat adalah daripada kapten Kelantan iaitu Badri Radzi atau Piya. Berdasarkan prestasinya yang cemerlang mengemudi jentera tengah Kelantan dan statusnya sebagai MVP pada musim lepas, para peminat amat berharap dia dapat menyumbangkan sesuatu yang bermakna untuk skuad negara. Malangnya tidak banyak yang boleh dilakukan beliau dalam tempoh tidak sampai 45 minit.Apatah lagi, beliau diletakkan  sedikit ke bawah dan tidak di posisi kegemarannya iaitu attacking midfielder. Saya yakin jika Piya digandingkan dengan seorang defensive midfielder sama ada rakan lamanya iaitu Shakir Saari mahupun Junior Edstal, beliau akan lebih bebas bergerak menjana serangan. Akan tetapi agak malang apabila semalam beliau digandingkan bersama seorang lagi attacking midfielder iaitu Safiq Rahim. Yang lebih penting, saya kira Piya sewajarnya diberi peluang beraksi sepenuh masa.

Insiden Ultras Malaya yang membaling  bom asap ke dalam stadium juga mewarnai perlawanan semalam. Sebelum perlawanan saya ada terbaca poster kempen 30 minutes silence yang dibuat Ultras Malaya sebagai tanda protes terhadap tindak tanduk FAM dan pimpinannya sejak 30 tahun dahulu yang didakwa lebih banyak merugikan bolasepak negara. Mereka juga menuntut Presiden FAM meletak jawatan. Biarpun niat mereka boleh dikira baik, namun tindakan membaling bom asap sehingga menghentikan perlawanan saya kira tidak wajar dilakukan. Ia bukan sahaja menjejaskan rentak dan fokus pemain negara tetapi juga mengganggu keseronokan penonton lain yang ingin menyaksikan perlawanan bolasepak berkualiti.

Protes Ultras Malaya
Satu  lagi perkara yang mencuri tumpuan serta mengundang kritikan penonton adalah mutu pengadilan yang mengecewakan. Ada dua insiden utama yang menjadi sebutan. Yang pertama adalah pembatalan jaringan Amir Ridwan Taj tanpa sebab yang jelas. Pengulas Astro Arena yang menayangkan klip jaringan tersebut berulang kali dari beberapa sudut berbeza juga tidak dapat mengesan sebab pembatalan jaringan tersebut. Jika jaringan tersebut disahkan tentunya Malaysia mampu mengumpul mata penting untuk menaikkan ranking skuad negara.Satu lagi insiden yang melucukan adalah apabila pengadil memberikan sepakan sudut kepada pasukan Filipina biarpun jelas bola tersebut terkena pemain Filipina sebelum keluar. Melalui maklumat yang saya baca, pengadil yang sama pernah membuat beberapa keputusan kontroversi seumpama itu dalam aksi liga Malaysia. Saya harap FAM lebih serius menangani isu mutu pengadilan ini.

Hari ini skuad negara telahpun berangkat ke UAE untuk perlawanan terakhir kumpulan bagi pusingan kelayakan Piala Asia menentang Yemen. Biarpun misi untuk layak ke pusingan seterusnya sangat sukar namun sekurang-kurangnya kita berharap anak buah Dato OKS akan membawa pulang kemenangan sebagai hadiah buat peminat bolasepak tanah air..Selamat berjuang Harimau Malaya!