Thursday, June 26, 2014

Apa Khabar Kesultanan Sulu Darul Islam?

Sultan Bantilan II
Telah lama saya tidak mendengar khabar berita daripada Kesultanan Sulu Darul Islam (SSDI) yang telah mengisytiharkan kemerdekaannya pada 18 November 2010 yang lalu. Blog utama yang menjadi saluran utama pemberitaan bagi SSDI dalam bahasa Melayu iaitu tausug-global.blogspot.com juga telah lama tidak dikemaskini. Bulan lepas saya ada terserempak dengan Bro Asree Sulu yang mengendalikan blog ini di Putrajaya namun tidak sempat bertegur sapa memandangkan dia sibuk melayan pelanggan beliau di gerai ilustrasinya ketika itu. 


Dan apabila saya sebut tentang Kesultanan Sulu, ia bukanlah merujuk kepada kelompok Kiram yang menyerang Sabah pada Mac tahun lalu. Sultan Sulu yang diamksudkan adalah Sultan Bantilan II yang didukung oleh rakyat Sulu yang menyertai United Tausug Citizens atau UTC. Kelompok ini boleh dikategorikan "mesra Malaysia" dan mereka berulang kali menegaskan bahawa mereka tidak sama sekali berhasrat menuntut Sabah kerana bagi mereka rakyat Sabah lebih 'makmur dan sejahtera' di dalam Malaysia. Saya sendiri pernah menulis beberapa artikel yang menyentuh khusus tentang kesultanan sulu melalui blog ini

Saya juga ada mendengar khabar angin berlaku sedikit krisis di kalangan pemimpin UTC yang merencatkan perancangan seterusnya selepas Sulu merdeka namun tidak dipastikan kesahihannya. Daripada laporan blog, satu-satunya perkara yang jelas dilakukan adalah penghasilan dinar dan dirham sulu yang diusahakan oleh Sheikh Umar Ibrahim Vadillo. Sama ada adakah ia berjaya dijadikan legal tender, hanya SSDI yang boleh memberikan jawapan. Begiru juga dengan persoalan yang saya ajukan dalam artikel sebelum ini sama ada Sulu berjaya menjadi negara yang merdeka secara hakiki. Jika kita rujuk kepada PBB tentunya kita akan dapati negara Sulu ini belum wujud sebagaimana yang dikatakan. Malah agensi-agensi berita juga tidak menyebutkan tentang mereka.

Dinar dan dirham SSDI

Apapun kita harapkan yang terbaik buat masyarakat sulu atau tausug. Mereka adalah saudara kita dan tiada apa yang boleh kita lakukan selain berdoa dan membantu mereka atas kemampuan yang kita ada.



No comments:

Post a Comment