Pagi ini, Menteri Besar Selangor yang baru akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan DYMM Sultan Selangor sekaligus menamatkan krisis yang telah membawa keributan besar kepada parti-parti dalam Pakatan Rakyat khususnya PAS. Lihat saja apa yang berlaku dalam muktamar PAS baru-baru ini yang memperlihatkan 'pergaduhan besar' antara perwakilan. Seingat saya tidak pernah lagi insiden merampas microphon, pembahas di'boo' dan doa laknat berlaku dalam mana-mana muktamar sebelum ini. Presiden PAS malah Majlis Syura Ulama juga dikritik secara terbuka baik di media sosial, media arus perdana, mahupun di pentas forum serta ceramah. Begitulah hebatnya penangan krisis MB Selangor kali ini.
Dari Khalid Ibrahim kepada Azmin Ali |
Dengan pelantikan YB Azmin Ali yang juga ADUN Bukit Antarabangsa sebagai Menteri Besar Selangor yang baru, diharapkan kemelut yang berlaku ini akan tamat serta merta biarpun jelas sekali bahawa pemilihan Azmin Ali masih kurang disenangi oleh parti beliau sendiri. Ini dapat dilihat melalui kenyataan media yang dibuat Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah yang menjadi calon tunggal MB Selangor bagi PKR dan DAP sebelum ini. Bagi saya ini tidak sepatutnya berlaku atas 2 faktor. Pertama, Tan Sri Khalid berjaya diturunkan sebagaimana yang dikehendaki mereka.Kedua, ADUN yang dipilih Sultan tetap ADUN PKR malah orang nombor dua parti. Kecualilah Wan Azizah perlu menjadi MB atas agenda besar tersembunyi suaminya yang juga Ketua Umum PKR. Jangan pula selepas ini Azmin pula diganggu dan ditekan demi memenuhi agenda pihak-pihak berkepentingan.
Langkah Kajang gagal |
Krisis MB ini juga memberi pengajaran berguna buat Anwar bahawa dia bukanlah sekuat sebagaimana yang digembar gemburkan. Dia tak mampu memaksa Azmin Ali menolak pelantikan dan memberi laluan kepada isterinya kerana dia sedar Azmin punya kelompok penyokongnya tersendiri termasuk di kalangan ADUN PKR Selangor. Keadaan mungkin berbeza sekiranya ADUN Pas yang dipilih Sultan kerana Anwar sedar Azizah tetap mendapat sokongan majoriti di DUN Selangor, Namun selepas nama Azmin yang naik, sokongan terhadap Azizah telah berpecah dua. Harus diingat juga bahawa Azmin adalah calon MB bagi PAS bukan PKR dan tentunya pandangan PAS juga akan dianggap penting dalam dasar-dasar yang bakal diterapkan dalam pentadbiran yang diterajui Azmin nanti sebagai menghargai sokongan PAS.
"Terima kasih Ayoh Chik!"... mungkin itulah yang dikatakan Azmin |
Di hari terakhir tugas beliau sebagai Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dilihat begitu tenang dan gembira. Saya sempat menonton temubual beliau dalam Agenda Awani yang dirakamkan di pejabat Menteri Besar pada jam-jam terakhir beliau sebagai MB. Beliau kelihatan yakin dan sangat positif. Semua persoalan dijawap dengan penuh professional tanpa dipengaruhi emosi. Saya kira memang layak beliau diangkat sebagai antara MB terbaik yang pernah dimiliki negeri Selangor. Satu majlis perpisahan ringkas turut diadakan oleh kakitangan SUK Selangor dan Exco sebagai satu tanda terima kasih atas khidmat beliau selama ini. Mungkin ramai lagi rakyat Selangor yang ingin mengucapkan terima kasih kepada beliau.
Kakitangan SUK Selangor mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Khalid |
Saya mendoakan agar YB Azmin Ali yang bakal menjadi MB Selangor ke 15 akan mampu memikul amanah yang diberi dengan penuh tanggungjawab dan professional. Dasar-dasar positif yang dilaksanakan oleh Tan Sri Khalid wajar diteruskan malah ditambah baik. Apa yang kurang pula seharusnya diperbaiki demi kebaikan rakyat Selangor seluruhnya.
No comments:
Post a Comment