Thursday, September 2, 2010

Pertahankan Irama Tarannum

             Alhamdulillah kita masih diberikan ruang dan peluang oleh Allah SWT untuk meneruskan kehidupan kita sebagai seorang hamba yang sewajibnya taat kepada Khaliknya. Kita sedang menghampiri penghujung bulan yang penuh kemuliaan dan keberkatan yakni bulan Ramadhan. Yang paling penting kita perlu mempersiapkan diri secara fizikal dan mental bukan sahaja untuk menjalani ibadah puasa tetapi untuk melipat gandakan amal ibadah sekaligus menuai pahala sebanyak mungkin sebagai bekal ke alam akhirat. Amatlah rugi jika kita tidak mengimarahkan bulan Ramadhan ini kerana ganjaran yang dijanjikan Allah adalah berlipat kali ganda daripada bulan-bulan lain.

           Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: "Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata:” Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku.” Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk.” ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim )


Rabbani tidak pernah meminggirkan elemen tarannum dalam album mereka
            Setiap kali Ramadhan juga tentunya aktiviti nasyid juga semakin meriah. Selain terbitnya album khusus sempena sambutan Ramadhan dan Syawal, pihak hotel dan restoran terkemuka juga menyediakan pakej berbuka puasa yang diwarnai oleh persembahan artis nasyid tanah air. Sebut pasal artis nasyid, ingin saya kongsikan kebimbangan saya dan sebahagian besar aktivis nasyid yang ada hari ini tentang kekurangan penyanyi nasyid yang mampu membawa lagu-lagu tarannum Al-Quran. Saya sendiri banyak turun ke lapangan menjadi juri pertandingan-pertandingan nasyid di pelbagai peringkat dan saya dapati fenomena ini memang berlaku. Kemunculan artis- artis nasyid baru yang lebih cenderung dengan aliran muzik pop dan R&B turut menambah “keparahan” masalah ini. Kecenderungan ini turut berjangkit ke dalam pertandingan-pertandingan nasyid yang dianjurkan.

            Saya tidaklah bersikap anti lagu pop dan R&B malah saya amat meminati lagenda R&B, Boyz II Men. Nasyid bukanlah genre muzik tetapi ia adalah satu seni nyanyian Islam yang datang secara pakej. Nasyid boleh dipersembahkan dalam irama padang pasir, zapin, inang, reggae,hip hop mahupun rock. Namun bagi saya dan aktivis nasyid lain, amat penting bagi seorang penyanyi nasyid untuk menguasai irama tarannum atau sekurang-kurangnya mampu membawa lagu-lagu berirama taranum dengan baik. Kalau pun tidak belajar secara formal tentang apa itu nahwand, jiharkah, soba, bayati dan sebagainya, seharusnya seorang penyanyi nasyid mampu melagukan irama-irama tarannum ini walaupun dengan hanya menggunakan teknik dengar dan tiru.

Ummul Qura antara sebilangan kecil penasyid generasi baru yang memperjuangan irama tarannum dan burdah

              Irama tarannum perlu dipertahankan dan diperkasakan dalam irama nasyid kerana ia menjadi teras dan asas kepada seni nasyid itu sendiri. Malah adakalanya  irama tarannum inilah yang menjadi identiti nasyid sekaligus  membezakan lagu-lagu nasyid dengan lagu-lagu bukan nasyid. Jika kita dengar dan perhatikan album artis-artis nasyid antarabangsa seperti Yusuf Islam, Sami Yusuf mahupun yang terkini Maher Zain sekalipun, irama tarannum tetap diselitkan dalam karya-karya mereka walaupun susunan muzik mereka lebih advanced dan moden berbanding artis-artis nasyid di Malaysia sendiri. Mengenepikan irama tarannum dalam nasyid bagi saya seolah-olah kita membuang sambal tumis sebagai salah satu ramuan nasi lemak. Tanpa sambal tumis, tentunya nasi lemak itu tidak akan dipanggil “nasi lemak” betul tak?

No comments:

Post a Comment