Friday, September 3, 2010

Ambang Merdeka 2010

MERDEKA!

Sambutan ambang merdeka di negeri Selangor pada tahun ini sedikit berbeza dengan apa yang dilakukan sebelum ini. Jika sebelum ini ianya lebih menjurus kepada elemen hiburan sihat semata-mata. Selari dengan semangat bulan Ramadhan elemen spritual dan keagamaan turut dimasukkan dalam agenda sambutan tahun ini. Saya rasa perkara ini mungkin kali pertama dilakukan di negeri selangor.

Dengar ye adik-adik, Ustaz Zamri nak cerita

Pada mulanya akuku dan team Nasyeed.Com hanya  diberi tanggungjawab untuk menyediakan sistem bunyi dan lampu untuk program tersebut sahaja. Namun sehari sebelum acara berlangsung kami telah dimohon oleh pihak penganjur untuk turut sama mengkoordinasi dan mengendalikan perjalanan acara keseluruhannya. Walaupun tugas tersebut diberi last minute namun alhamdulillah ianya berjaya dilaksanakan dengan baik.

Ini bukan di Kota Bharu tapi di Shah Alam!

Persiapan di tapak program telah dibuat sehari sebelumnya dengan pemasangan kemah, peralatan audio dan lampu serta pentas utama program. Selepas solat asar 30 Ogos, persiapan terakhir dibuat termasuklah penyediaan tempat solat. Tikar dah sejadah dibentangkan dihadapan pentas utama yang sememangnya di pasang mengadap arah kiblat sekaligus memudahkan perjalanan solat maghrib, isyak, terawih dan solat hajat yang ditunaikan di situ oleh para hadirin.

Mawi yang penuh penghayatan

Program bermula lebih kurang pukul 6.45 petang dengan sesi tazkirah Ramadhan bersama Ustaz Zamri Mantop ( TV9 ) dengan hampir 500 orang terutamanya remaja mengikutinya. Sebaik azan berkumandang, para hadirin yang semakin ramai di tapak program berbuka puasa dengan juadah yang disediakan pihak penganjur sebelum menunaikan solat maghrib secara berjemaah.Selepas Maghrib salah seorang sukarelawan Misi Freedom Flotilla iaitu Pak Jamuliddin Elias mengambil tempat di pentas untuk berkongsi pengalaman beliau dengan para hadirin dengan dibantu oleh slide show yang disediakan oleh beliau sendiri. Selepas solat Isyak, lebih seribu orang hadirin telah mendirikan solat tarawih secara berjemaah.

Deklamasi puisi oleh pimpinan belia Selangor

Atucara persembahan bermula selepas solat terawih sekitar pukul 9.30 malam. Bermula dengan lagu bertemakan Palestin nyanyian kumpulan Fazs, kemudian bacaan puisi oleh pimpinan belia Selangor, diikuti oleh persembahan artis terkenal tanah air seperti Mel Wings, Hasnul Jamal, Mawi, Ramli Sarip dan bacaan puisi oleh Sasterawan Negara Dato A Samad Said. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diiringi YB Dr Hjh Halimah Ali, YB Yaakop Sapari dan YB Ronnie Liu sebagai Exco Kerajaan Negeri serta Dato Ramli Mahmud selaku Setiausaha Kerajaan Negeri turut melancarkan Kempen Anti Zina peringkat negeri Selangor sebagai salah satu wadah untuk menangani masalah gejala sosial di kalangan masyarakat.

Papa Rock Ramli Sarip

Menjelang detik 12.00 malam, Tan Sri Khalid dan tetamu kehormat telah mengetuai laungan merdeka sambil disambut oleh hadirin sebelum diikuti dengan nyanyian lagu 31 Ogos dan Negaraku. Pertunjukan bunga api yang telah disediakan khas oleh pihak I-City turut menceriakan suasana. Majlis diakhiri dengan bacaan doa dan seterusnya solat hajat secara berjemaah yang disertai semua tetamu kehormat dan para hadirin dengan dipimpin oleh Ustaz Asyraf yang juga johan Imam Muda Astro Oasis.

Pelancaran Kempen Anti Zina

Sepatutnya program yang baik sebegini mendapat liputan yang meluas daripada media terutamanya di pihak media alternatif yang pro Pakatan Rakyat. Perbezaan politik tentunya tidak memungkinkan program ini mendapat liputan media arus perdana. Aku dah check laman web seperti TV Selangor yang menjadi antara ejen utama penerangan kerajaan negeri, tidakpun menyiarkan berita tentang program ini secara khusus. Penganjuran program ini tidak dimanipulasi sebaik mungkin untuk menonjolkan imej positif kerajaan Selangor walaupun ketika ini Pakatan Rakyat diserang dengan sentimen agama apabila YB non muslim masuk ke surau dan sebagainya. Sudut berita tentang solat jemaah oleh para hadirin di tapak program contohnya tidak pun disentuh. Padahal aku rasa ini kali pertama program rasmi kerajaan negeri diisi dengan agenda sedemikian rupa terutamanya melibatkan program outdoor. Lainlah kalau di Kota Bharu, benda macam ni orang dah tak heran dah.Aku rasa pihak penerangan dan komunikasi kerajaan negeri yang diketuai Dr Badrol Amin harus lebih lincah dan licik dalam membina imej positif kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor. Jangan sampai peristiwa di Hulu Selangor berulang kembali. Lembu punya susu, sapi dapat nama..

Pertunjukan bunga api mewarnai ambang merdeka 2010

Solat hajat menutup tirai program

No comments:

Post a Comment