Isu penggunaan kalimah Allah kembali hangat diperkatakan oleh masyarakat Malaysia selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya memutuskan untuk tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh pihak gereja katolik melalui penerbitan akhbar mereka The Herald. Saya pernah ulas isu ini ketika peringkat awal ianya disebut dalam blog ini. Saya kira keputusan ini melegakan banyak pihak termasuklah diri saya sendiri.
Penjelasan ilmiah oleh Dr MAZA dalam isu kalimah Allah
ASAS PENENTANGAN
Namun apa yang harus difahami oleh semua orang adalah asas kepada penentangan terhadap permintaan pihak gereja katolik tersebut. Ia ditentang bukan kerana agama Islam melarang penganut lain menggunakan kalimah tersebut tetapi wujud kebimbangan di kalangan penganut Islam terhadap kesan yang bakal timbul ekoran penggunaan kalimah tersebut oleh gereja katolik. Apatah lagi mereka meminta penggunaan kalimah Allah hanya dalam bible atau akhbar terbitan dalam bahasa Melayu sahaja dan bukan dalam bahasa-bahasa lain. Ini menimbulkan rasa syak wasangka seolah-olah pihak gereja katolik punya hidden agenda berupa cubaan menyebarkan agama kristian di kalangan orang Melayu yang sememangnya telah diikat oleh perlembagaan secara definisinya sebagai seorang muslim.
TANGGUNGJAWAB KERAJAAN
Kebimbingan oleh umat Islam inilah yang menjadi asas kepada tindakan kerajaan untuk mewujudkan peraturan tertentu bagi menjaga keharmonian rakyat dan negara. Ia tidak bermaksud menyatakan bahawa kalimah Allah adalah hak ekslusif umat Islam kerana Allah adalah tuhan sekalian alam. Dalam erti kata lain, Allah dirujuk sebagai Supreme Being atau Tuhan yang mencipta alam ini dan isinya. Dalam konteks semenanjung Malaysia, jika isu ini tidak ditangani dengan betul ia boleh mencetuskan konflik yang serius.Ia tidak boleh disamakan dengan situasi atau waqi' di Sabah dan Sarawak yang mana penduduk pribumi mereka ada yang beragama kristian sejak sebelum kerajaan Malaysia wujud lagi. Maka dengan itu adalah penting untuk kerajaan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan pertimbangan dan keutamaan dalam konteks bernegara.
FAKTOR LINGUISTIK & DASAR AGAMA
Saya melihat pertimbangan yang dibuat kerajaan dalam meletakkan polisi dan peraturan berkaitan isu ini adalah berdasarkan beberapa perkara seperti berikut:
- Penggunaan nama Allah dalam konteks agama Kristian bukanlah syarat mendasar bagi menjadikan seseorang itu Kristian atau lebih kristian daripada yang lain. Ini terbukti melalui penggunaan nama-nama lain yang ditulis dalam bible yang digunakan di seluruh dunia seperti Lord, Jesus, God dan lain-lain bagi merujuk kepada supreme being atau tuhan.
- Adapun hujah pihak gereja yang mengatakan bahawa Lord atau God dalam bahasa Inggeris bermaksud Allah dalam bahasa Melayu juga tidak boleh diterima kerana terjemahan God dalam bahasa Melayu di Malaysia adalah Tuhan dan bukannya Allah. Kalimah Allah dalam konteks Malaysia adalah kata nama khas yang dirujuk sebagai Tuhan Yang Maha Esa menggunakan takrifan tuhan dalam konteks Islam.
- Jika kalimah Allah ini begitu penting bagi umat kristian dan boleh menjejaskan akidah dan pegangan mereka sekiranya ia tidak digunakan maka tentulah pihak Vatican dan gereja katolik seluruh dunia akan mengarahkan selurtuh umat kristian menggunakan kalimah yang sama untuk merujuk kepada The Supreme Being atau Tuhan dalam semua bible, penulisan mahupun upacara-upacara keagamaan mereka. Dalam erti kata lain, Allah bukanlah satu kata nama khusus bagi umat kristian sebagaimana yang digunakan oleh umat Islam. Sebab itulah ianya boleh diganti dengan kalimah-kalimah lain dalam bahasa yang berbeza. Namun bagi umat Islam, mereka konsisten menggunakan kalimah Allah dalam apa jua bahasa.
JANGAN JADI ALAT POLITIK
Saya mengharapkan isu ini tidak dipolitikkan atau dijadikan alat untuk kepentingan pihak tertentu. Kita telah membina negara ini dengan masyarakatnya yang hidup dengan aman dan harmoni biarpun berbeza agama dan bangsa sejak sekian lama. Janganlah kita memperjudikan apa yang kita ada hari ini demi mencapai sesuatu perkara yang belum tentu kesannya akan menjadi baik mahupun buruk.Isu kalimah Allah ini bukanlah isu agama secara teologi tetapi lebih kepada isu pentadbiran dan siasah dalam sesebuah negara.