Thursday, May 28, 2009

Akhil Hayy: Apa Dah Jadi Syeikh?


Sejak isu Akhil Hayy dan Waheeda menjadi hangat, aku sering kali ditanya tentang status sebenar mereka dan cerita sebenar di sebalik cakap-cakap di media. Dan aku yakin, bukan aku sorang saja di kalangan orang nasyid yang diajukan soalan sedemikian. Walaupun aku bukanlah kategori kawan rapat mereka, tapi majoriti penggiat nasyid yang aktif boleh dikatakan mengetahui cerita di sebalik apa yang terpapar di dada-dada akhbar. Aku sendiri pun pernah "lepak" dengan pasangan popular ni dengan seorang rakan lain. Malah aku juga pernah berjumpa secara face to face dengan Isteri Ust Akhil, Kak Maiza atas kapasitinya sebagai pengurus Ust Akhil. Maklum jelah, sebagai event manager tentunya aku tak dapat leri daripada berurusan dengan rakan-rakan artis yang lain.

Aku memang meminati Ustaz Rock ni sejak zaman di sekolah menengah lagi. Namun tarikan ketika itu lebih kepada metod penyampaian ceramahnya yang agak berbeza dan up to date berbanding ustaz-ustaz lain ketika itu. Dia sering menyelitkan nyanyian dalam ceramahnya. Malah pada era pasca reformasi dia juga merupakan salah seorang penceramah PAS yang cukup popular malah sering berkongsi pentas dengan pemimpin tertinggi PAS ketika itu termasuklah Tuan Guru Nik Abdul Aziz selaku Mursyidul Am Pas dan Menteri Besar Kelantan. Kehebatan ceramahnya politiknya menarik kehadiran ribuan orang. Aku masih ingat salah satu lagu yang sering dinyanyikan dalam ceramah politik beliau iaitu "Royalti" yang disadur melodi lagunya daripada lagu "Sejati" nyanyian Wings. Ust Akhil Hayy juga sering diturunkan untuk berkempen dalam pilihanraya-pilihanraya kecil yang disertai Barisan Alternatif ketika itu.



Nama Ustaz Akhil Hayy mula menyinar di media arus perdana setelah dia terlibat dalam Konsert Tautan Kasih dan Majlis Pengisytiharan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam pada tahun 2005 yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan yang turut melibatkan Mawi, M.Nasir, Rabbani dan group aku sendiri yakni Mestica. Itulah konsert besar-besaran pertama melibatkan artis pop diadakan di Kelantan sejak 15 tahun PAS memerintah Kelantan pada waktu itu. Ramai juga wartawan yang membanjiri Kota Bhari ketika itu yang tertarik dengan imejnya berserban tetapi mampu menyanyi dengan merdu. "Oh my god! What a beautiful voice!" itulah ungkapan yang terpacul dari seorang wartawan NST yang dipanggil Jac oleh Abang Nasir Deraman (PRO Hijjaz Records) yang menguruskan delegasi wartawan ketika itu. Tapi aku tahu itu bukan nama dia sebenar sebab nama Jac tu diberi sebab muka dia ada iras-iras Jacquline Victor. Selain daripada Mawi, Ustaz Akhil Hayylah yang banyak menjadi tumpuan media ketika itu. Sampai krew Melodi pun cari dia. Aku nampak ada 3 faktor utama yang menjadi tarikan media ketika itu. Pertama background dia sebagai bekas penyanyi rock yang kini menjadi pendakwah dan penyanyi nasyid, kedua suara dia yang merdu,ketiga imej dia yang berserban dengan rambut yang tetap panjang sepanjang ekor serbannya.hehehe..

Apabila namanya mula menjadi sebutan, aku ada mendengar ura-ura ketika itu Hijjaz Records nak ambil dia sebagai artis rakaman namun kerana bimbang dengan reputasi Ustaz Akhil yang merupakan tokoh politik pembangkang terkenal akan memberi kesan negatif kepada syarikat maka Hijjaz Records melupakan hasrat itu. Akhirnya Ustaz Akhil Hayy disunting oleh Inteam Records untuk menjadi artis naungan mereka. Maka bermulalah episod baru dalam kehidupan Ustaz Akhil Hayy daripada menjadi penyanyi dan pendakwah underground kepada seorang penyanyi nasyid dan pendakwah mainstream yang lebih glamour dan terkenal...

BERSAMBUNG...




Friday, May 22, 2009

Dengarlah Dari Mulut Kuda

Listen from the horse's mouth. Inilah pepatah yang membawa maksud kita hendaklah mendengar sesuatu berita atau maklumat itu dari sumber yang diperkatakan itu sendiri. Sebagai contoh, kalau kita dengar berita tentang seorang yang bernama"A" dari tentang kawan kita "B", maka kita jangan terus percaya tentang apa yang kita dengar. Kita juga jangan bertanya tentang berita itu daripada individu lain yang bernama "C". Tindakan yang sebaiknya kita kena mendengar daripada "A" sendiri. Selepas itu barulah kita buat penilaian tentang ketepatan maklumat atau berita yang kita dengar itu.


Kuda adalah binatang yang jenis tak pandai menipu atau berpura-pura. Memanglah dia tak pandai bercakap dalam bahasa yang difahami manusia tetapi sebarang reaksi yang ditunjukkan sama ada marah, sakit, lapar dan sebagainya adalah rasa kuda itu yang sebenar-benarnya dan bukanlah satu yang bersifat lakonan. Sebab itulah, pepatah ini dinisbahkan kepada makhluk Allah yang bergelar kuda ni.

Dalam menilai sesuatu berita atau maklumat kita mestilah berlaku adil dengan mendengar daripada sumber yang tepat. Janganlah kita cepat menghukum seseorang atau sesuatu pihak tanpa mendengar penjelasan mereka sendiri terlebih dahulu. Ini sangat penting bagi melindungi diri kita daripada terlibat dalam sebarang bentuk fitnah yang dosanya lebih besar daripada membunuh.

Oklah kita berenti pasal kuda. Kali ni aku nak tinggalkan korang dengan satu videoklip nasyid dari Indonesia. Dalam video ni actually ada jugak kuda tapi takde kaitan dengan apa yang kita sembangkan di atas. Apepun bagi aku lagu ni memang best. Enjoy the song..


BN Bakal Mohon Bubar DUN Perak?


Hari ini pukul 3.30 petang Mahkamah Rayuan Putrajaya akan mengumumkan keputusan penghakiman yang akan menentukan siapakah yang berhak mengetuai kerajaan Perak.Melihat kepada beberapa kenyataan pemimpin-pemimpin BN termasuk Dato' Seri Najib sendiri, mereka mula mengakui bahawa pembubaran DUN adalah antara pilihan terbaik sebagai jalan penyelesaian total terhadap krisis di Perak.Jika mereka terus cuba mempertahankan kerajaan yang ada sekarang, maka kebencian dan kemarahan rakyat kepada mereka akan lebih memuncak. Mahu atau tidak, mereka harus memperakui bahawa imej UMNO-BN sekarang terjejas teruk dari kacamata rakyat ekoran isu di Perak. UBN perlu melakukan damage control dengan segera walaupun mungkin terpaksa kehilangan negeri Perak kerana jika tidak mungkin mereka akan mendapat kerugian yang lebih besar dalam PRU13 nanti. Dengan membubarkan DUN Perak, sekurang-kurangnya dakwaan bahawa UBN takut menghadapi pilihanraya berjaya ditepis. Imej Najib sebagai presiden UMNO juga akan sedikit meningkat jika berani bertempur dengan PR secara anak jantan.

Selepas mendapat keputusan Mahkamah yang dijangka bakal berpihak kepada mereka petang ni, BN mungkin tidak menunggu lama untuk mengadap Sultan Perak bagi memohon perkenan membubarkan DUN. Yang penting bagi BN mereka ingin menjadi caretaker government sepanjang proses kempen nanti kerana ianya sedikit sebanyak akan memberi kelebihan kepada mereka dalam menempuh pilihanraya tersebut. Apapun kita tunggu dan lihat sahaja.


Monday, May 18, 2009

DUN Perak dibubar Isnin?

Beberapa blog dan web hari ini ada melaporkan tentang desas-desus pembubaran DUN yang dikatakan bakal diumumkan oleh Istana Perak esok hari yakni Isnin, 18 Mei 2009. Antara web yang melaporkan berita ini ialah tv antara dan malaysiakini. Aku tak pasti sejauh mana tepatnya berita ini dan aku tak meletakkan harapan tinggi pun. Namun andai benar khabar ini, ia bakal menjadi jalan keluar terbaik kepada kemelut "perang tempoyak" yang sudah berlarutan lebih 3 bulan.

Cuma akan timbul satu lagi pertikaian andai DUN dibubar sebelum kerajaan yang sah benar-benar ditentukan dan dikembalikan kuasanya. Persoalan yang bakal timbul ialah siapakah yang akan menjadi "caretaker government" sebaik DUN dibubarkan. Oleh yang demikian adalah penting untuk mahkamah menentukan secara mutlak pihak manakah merupakan kerajaan yang sah di perak. Selain itu kuasa mereka juga harus dikembalikan. Kita tak nak lagi jadi macam keputusan Mahkamah Rayuan tempohari yang merentap kembali kuasa Nizar setelah Mahkamah Tinggi KL memutuskan memulangkan kuasa kepada beliau setelah 3 bulan diusir keluar dari pejabat MB Perak. Semoga Allah menurunkan ilham dan petunjuk kepada Paduka Sri Sultan Perak untuk memperkenankan pembubaran DUN Perak. Amin..

Wednesday, May 13, 2009

Pertempuran Baru Perang Tempoyak




Aku mengharapkan episod "Perang Tempoyak" yakni krisis politik di negeri Perak dapat ditamatkan dengan segara dengan cara yang paling baik dengan mengembalikan semula mandat kepada rakyat melalui pilihanraya selepas pembubaran DUN Perak. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Mei telah memutuskan bahawa Dato' Seri Nizar Jamaludin sebagai Menteri Besar Perak yang sah. Bagaimanapun keesokan harinya Hakim Mahkamah Rayuan, Dato' Ramly Ali membenarkan Dato' Seri Dr. Zamry Abdul Kadir kekal sebagai Menteri Besar Perak sehingga Mahkamah Rayuan menyelesaikan kes rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah. Keputusan Mahkamah Rayuan ini menjadikan krisis ini lebih rumit. Sepatutnya yang kekal sebagai Menteri Besar ialah Nizar sebab dialah yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi sebagai Menteri Besar yang sah. Cuma jika Zambry khuatir rayuannya untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan menjadi sia-sia sekiranya Nizar mendapat perkenan Sultan Perak untuk membubarkan DUN, maka perintah yang sepatutnya dikeluarkan Mahkamah Rayuan ialah menghalang Nizar daripada mendapatkan perkenan Sultan Perak untuk membubarkan DUN sebelum Mahkamah Rayuan membuat keputusan tentang rayuan Zambry. Secara jujurnya, aku sendiri tak pasti sama ada cadangan aku tadi boleh dilaksanakan dari sudut perundangan. Akan tetapi ianya adalah wajar untuk mengekalkan Nizar sebagai Menteri Besar berdasarkan kes-kes terdahulu adalah jelas, jawatan Nizar memang tidak pernah terlucut.



Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan 18 Mei ini untuk mendengar rayuan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi.Tarikh itu ditetapkan selepas Nizar memfailkan notis usul itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan hari ini melalui firma guaman Tetuan Leong & Tan. Bagi sesiapa yang tinggal sekitar KL dan Shah Alam boleh la datang ke ceramah perdana krisis politik perak yang akan berlangsung pada hari Sabtu 16 Mei 2009 selepas solat isyak di stadium melawati shah alam. Kita boleh dengar sendiri penjelasan tentang isu ini dari perspektif Pakatan Rakyat sebab Nizar dan Sivakumar sendiri yang akan berucap selain pemimpin PR lain seperti Ustaz Nasharudin (Timb. Presiden PAS), Dato Dr Hasan Ali, N.Gobalakrishnan (PKR) dan lain-lain lagi. Bukannya apa, aku ni suka dengar dari kedua-dua pihak. Pandangan daripada BN senang kita dapat sebab mainstream media memang buat liputan pasal diorang tapi yang geng pembangkang ni susah sikit. Kalau nak dapat maklumat tetap kenalah turun tengok ceramah diorang barulah dapat first hand information.



Hmm.. dah lah. Aku dah malas nak ulas pasal perang tempoyak ni. Kita tunggu dan lihat jelah nanti. Semoga kebenaran dan keadilan akan tertegak demi rakyat Perak khasnya dan Malaysia amnya. Oklah aku tinggalkan korang dengan satu klip video dari Comedy Court. Ianya satu sketsa tentang politik jugak. Sekurang-kurang boleh la kita release tension sama-sama.


Tuesday, May 12, 2009

Episod Akhir Perang Tempoyak

Semasa dalam satu majlis di Hotel Bluewave Shah Alam semalam aku dikhabarkan dengan berita pengisytiharan mahkamah tinggi Kuala Lumpur bahawa Dato Seri Nizar Jamaluddin merupakan Menteri Besar yang sah bagi negeri Perak. Walaupun dari sudut hujah undang-undang, sememangnya Nizar mempunyai hujah dan alasan yang kuat tapi pada awalnya aku sama sekali tidak menjangka keputusan mahkamah akan berpihak pada beliau. Jika kita perhatikan beberapa tahun kebelakangan ini jarang sekali mahkamah membuat keputusan yang menyebelahi pembangkang. Hakim Abdul Aziz Abdul Rahim dalam penghakimannya mengutarakan beberapa hujah yang membawa kepada keputusannya itu. pertama, Nizar tidak pernah meletakkan jawatan dan jawatan beliau tidak terlucut secara automatik selagi tiada usul undi tidak percaya dibawa di dalam dewan undangan negeri ataupun dewan undangan negeri Perak tidak dibubarkan. Sultan Perak berkuasa memberi perkenan untuk melantik menteri besar namun setelah dilantik baginda tidak berhak untuk melucutkan jawatan menteri besar tersebut kerana jawatan menteri besar hanya boleh terlucut di atas sebab-sebab yang diterangkan di atas. Beliau juga merujuk kepada kes bekas Ketua Menteri Sarawak Stephen Kalong Ningkan yang menghadapi situasi yang hampir sama satu ketika dahulu.



Sengaja aku tak mahu ulas dalam blog ni tentang episod-episod pertengahan perang tempoyak sebab aku tahu memang banyak benda-benda mengarut yang akan berlaku sepanjang krisis sejak "rampasan kuasa" tempohari. Tengok saja apa yang berlaku pada 7 Mei yang lepas pada sidang DUM Perak. Satu dunia melihat betapa bebalnya sesetengah pemimpin kita di Malaysia ini yang sanggup melakukan apa saja untuk memastikan mereka terus berkuasa. Aku amat setuju dengan pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa BN terlalu gopoh untuk berkuasa. Dengan majoriti ahli DUN menyokong mereka, hakikatnya mereka punya cara yang lebih terhormat mengikut lunas perlembagaan. Itulah lain kali study la betul-betul dulu sebelum bertindak. Ntah apa la yang dibuat oleh pasukan penasihat undang-undang BN. Lain kali berilah nasihat yang betul dan jujur.Janganlah asyik nak mengampu bos je. kan dah kena! Nasib korang la.



Aku pun tak tahulah macam mana SUK, Penasihat Undang-Undang, Pegawai Kewangan dan pegawai-pegawai SUK lain yang over reacted dan bertindak secara tidak professional selama ini nak berdepan dengan Nizar dan Exco Pakatan yang lain. Tindak tanduk mereka sepanjang perang tempoyak seolah-olah mereka pegawai BN dan bukannya pegawai kerajaan negeri Perak yang seharusnya bersikap non partisan.



Jalan yang terbaik buat negeri Perak sekarang adalah dengan membubarkan DUN dan menyerahkan hak kepada rakyat untuk menentukan siapakah yang dinginkan oleh mereka bagi menerajui kerajaan Perak. Aku berharap DYMM Paduka Sri Sultan Perak akan memperkenankan permohonan membubarkan DUN sekaligus menamatkan episod Perang Tempoyak yang dah berlangsung lebih 3 bulan. Bagi pihak BN tentunya mereka tidak mahu menghadapi pilihanraya kerana trend semasa menunjukkan sokongan rakyat tidak berpihak kepada mereka. Apa yang mungkin boleh dilakukan BN adalah meminta Speaker DUN yang dilantik mereka untuk memanggil sidang DUN sekaligus mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Nizar.Namun soalnya, adalah pelantikan speaker tersebut sah? Hmm.. ala came on la bro lets stop all this nonsense and fight like a man!


Sunday, May 10, 2009

AIM 16: Itu dan Ini

Disebalik kesuraman industri muzik hari ni, AIM 16 masih mampu berlangsung meriah di PWTC pada 2 Mei 2009 yang lalu. Dan buat pertama kalinya aku hadir sebagai seorang "industrial player" dan bukan hanya sebagai seorang artis walaupun syarikat aku belum sampai setahun jadi recording label. Ramai yang mempersoalkan tindakan kami terjun ke dalam industri muzik yang hampir mati ini. Memang benar agak sukar mencari keuntungan dalam industri muzik buat masa kini. Malah syarikat rakaman yang besar macam EMI Music dan Maestro Records telahpun gulung tikar. Ini belum lagi dicampur dengan syarikat-syarikat yang terbabit dalam sub industri yang berkaitan seperti studio rakaman, perunding promosi dan pemasaran, event management dan lain-lain. Jadi, kenapa kami masih berkeras untuk terjun ke dalam industri ini. Actually antara misi kami yang utama ialah memastikan album-album nasyid terus mampu dikeluarkan. Sebelum kemunculan kami boleh dikatakan nasyid hanya bergantung kepada 2 syarikat untuk meneruskan kelangsungan pengeluaran album nasyid iaitu Hijjaz Records dan Inteam Records. Memang kita juga ada Rabbani Production dan Raihan Records namun mereka tidak begitu aktif menerbitkan album. Sebelum ini juga Telaga Biru Sdn Bhd turut memainkan peranan yang sama tapi kini mereka hanya memberi fokus kepada penerbitan buku-buku agama dan album ceramah motivasi dan bukan lagi album nasyid. Oleh itu kemunculan Nasyeed Edutainment Publishing Sdn Bhd ini lebih bertujuan mengurangkan beban tanggungjawab sosial yang ditanggung oleh pemain industri yang sedia ada. Semoga Allah membantu kami dalam melaksanakan misi ini.


Masa AIM tempohari aku ke sana dengan budak-budak Wildan. Diorang merupakan salah satu finalis kategori album nasyid terbaik. Kitorang sampai dalam pukul 6.30 petang. Lepas lalu blue carpet dalam pukul 7.30 malam kami masuk dewan. Oleh kerana surau di luar dewan dan di tingkat atas, kami ambil keputusan untuk solat di backstage saja malangnya tiada tempat yang proper disediakan. Oleh itu kami ambil keputusan untuk setup "musolla" kami sendiri. Actually tempat kami solat tu macam ruang menunggu artis. Masa tu budak-budak Cakra Sonic tengah lepak kat area situ. Lepas kami minta izin untuk gunakan space tu, diorang bukan setakat beredar tapi siap tolong kitorang susun kerusi lagi. Thanks Bros! After semuanya settle, kami pun solat kat situ dengan selambanya secara berjemaah. Masa abis solat tu aku perasan banyak juga mata yang memandang kami. Tak kisah la tu, yang penting harapnya orang yang melihat mendapat teladan yang baik daripada apa yang kami lakukan.

Aku dan Wildan diletakkan di bahagian yang agak depan. Selain daripada geng-geng nasyid yang memang dah selalu aku jumpa macam Rabbani, Raihan, NICE, All One, Saleh Brotherz, Ito Lara dan sebagainya, antara yang duduk berhampian kami ialah MUH, Alif Aziz dan Juwita Suwito. In fact Juwita duduk betul-betul belakang aku. So aku dan abang Zaidi Wildan berborak panjang gak dengan dia.Persembahan pembukaan AIM pada mulanya membuatkan aku sedikit teruja sebab aku tengok begitu ramai sekali pendikir yang ada kat atas pentas dan di bahagian laluan ke pentas. "Lagu apa pulak yang diorang nak nyanyi ni?"desis hatiku. Tetiba aku perasan Daly Ahli Fiqir jadi pemain gendang anak lengkap dengan kostum dikir. Mati-mati aku ingat diorang nak nyanyi lagu Dikir Rap akhirnya aku kecewa sebab sebenarnya yang perform M.Nasir dengan lagunya Langgam Pak Dogol. Dengan adanya Daly dalam team dikir tu, aku rasa team dikir yang iring M. Nasir tu grup Kelana Purba yang memang famous kat Singapura. Setahu aku Daly pernah jadi ahli Kelana Purba, malah lagu Dikir Rap pun dinyanyikan Ahli Fiqir dengan penampilan Kelana Purba. Walaupun group dikir dari Singapura kini dah agak lari sikit dari sudut rythm asal dikir barat, tapi aku amat respect koreografi diorang. Memang so far, aku tengok takde satu pun group dikir Malaysia yang boleh challenge diorang dari sudut tu.

Persembahan-persembahan selepas tu tak kurang hebatnya cuma bagi aku agak mendatar. Nasib baik la celoteh Adibah, Afdlin dan Bob Lokman menyelamatkan sedikit suasana. Dari segi pemenang anugerah aku rasa ada sesetengah anugerah yang masih dipengaruhi oleh populariti artis dalam memilih pemenang.Sepatutnya AIM memandang dari sudut kualiti produk atau album semata dan bukannya populariti kerana kita nak cari yang terbaik bukannya yang terkenal. Namun aku ucapkan tahniah kepada Raihan yang berjaya membuktikan nasyid masih berupaya untuk mendominasi kategori vokal berkumpulan terbaik dalam album. Persembahan penutup AIM pula sedikit menimbulkan rasa kurang senang dalam jiwa aku. Aku begitu terganggu dengan gelagat para peminat fanatik yang dibawa khas untuk berdiri di depan stage ketika 2 band indie terkenal tanah air Hujan dan Meet Uncle Husin buat show. Aksi percampuran lelaki perempuan terkinja-kinja "enjoy" tengok show amat tidak enak dan tak sewajarnya berlaku dalam masyarakat Malaysia yang punya adat kesopanan yang tinggi. Lebih menyakitkan mata bila ada di antara remaja perempuan tu bertudung litup. Sorry bro, aku memang peminat lagu korang tapi aku rasa sebagai seorang muslim kita masih perlu menjaga batas dalam berhibur. Aku tahu aku bukanlah perfect tapi sebagai anak seni, kita bertanggungjawab dalam setiap apa yang kita sampaikan dan persembahkan kepada audience.

Friday, May 1, 2009

Kesultanan Sulu Kembali Berdaulat?

Kebelakangan ini aku dan Dakmie sedang mengikut rapat perkembangan yang berlaku di kawasan majoriti muslim di Filipina khususnya di kepulauan Sulu. 19 Mac yang lalu secara rasminya bermulalah perjuangan satu gerakan yang menamakan diri mereka United Tausug Citizens (UTC) untuk mengembalikan kedaulatan dan kuasa Kesultanan Sulu Darul Islam. Mereka telah menabalkan Sultan Bantilan Muizzuddin II bin Datu Wasik Aranan sebagai Sultan Sulu Darul Islam dan pelantikan Mufti Kesultanan Sulu iaitu Al-Habib Muhammad Rizieq Syihab serta anggota Rumah Bichara( kabinet) yang lain. Menariknya penabalan dan pelantikan ni didokong oleh ribuan rakyat Sulu dan tidak seperti sebelum ini di mana individu-individu yang menabalkan diri mereka sebagai Sultan Sulu disokong kuat oleh pentadibiran Filipina. Dan pentadbiran Filipina akan memanipulasi "Sultan Sulu" ini untuk menyokong tuntutan Filipina ke atas Sabah. Selain iu UTC juga memilih perjuangan secara aman yakni menggunakan saluran politik dan undang-undang sekaligus tidak mengikut jejak langkah MNLF, MILF mahupun Abu Sayyaf.



UTC yakin Sultan Sulu yang berdaulat mempunyai hak dari sudut undang-undang untuk kembali berkuasa dan membentuk pentadbiran negara Sulu Darul Islam yang merdeka. Hakikatnya Kesultanan Sulu juga tidak pernah termansuh.Selama ini Filipina cuba menutup fakta ini dengan "mempopularkan" istilah Moro iaitu satu istilah berbaur penghinaan yang digunakan oleh penjajah Sepanyol kepada penduduk Muslim di Kepulauan Filipina. Sehinggakan muslim Filipina sendiri menggunakan istilah Moro untuk merujuk kepada diri mereka. Sedangkan mereka adalah masyarakat Muslim yang tergolong dalam pelbagai etnik rumpun Melayu seperti Tausug, Bajau, Sulu dan sebagainya. Malah masyarakat Muslim ini telah diyakinkan bahawa mereka adalah rakyat Filipina dan bukannya rakyat Kesultanan Sulu. Maka dengan itu undang-undang Filipina boleh dikuatkuasakan ke atas mereka tetapi jika mereka menisbahkan diri mereka sebagai rakyat Sulu maka undang-undang Filipina tidak terpakai ke atas mereka. Mungkin perkara ini agak complicated tapi fakta ini telah terbukti semasa peristiwa perarakan UTC pada 19 Mac yang lalu.

Antara strategi awal UTC untuk menyokong perjuangan mereka adalah dengan mendaftarkan seramai mungkin individu yang mengaku sebagai rakyat Kesultanan Sulu dan mengeluarkan surat kelahiran sebagai bukti. Pengedaran surat kelahiran UTC ini di kalangan imigran di Sabah turut mendapat perhatian pihak berkuasa Malaysia sehingga isu ini turut disentuh di parlimen Malaysia. Malaysia secara sedar atau tidak sememangnya mengiktiraf kedaulatan Kesultanan Sulu kerana sehingga hari ini kerajaan Malaysia masih membayar wang pajakan RM5000 setahun untuk Sabah kepada mereka yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu melalui kedutaan Malaysia di Manila. Rakyat Malaysia tidak perlu khuatir, UTC dan Sultan Sulu Darul Islam berpendirian Sabah harus kekal dalam persekutuan Malaysia dan tidak perlu diganggu gugat oleh sesiapa pun. Kerana bagi UTC yang lebih penting, orang Sabah telah selesa dan aman berada di bawah kerajaan Malaysia dan tidak tertindas sepertimana di bawah pentadbiran Filipina.

Sebenarnya jika ditelusuri kisah Kesultanan Sulu ini banyak fakta-fakta menarik dan mungkin juga mengejutkan ditemui. Antaranya ialah peminjaman 400 ribu tan metrik jongkong emas milik Trusty Kesultanan Sulu oleh Kerajaan Filipina untuk menubuhkan bank negara Filipina pada tahun 1949. Begitu juga dengan dakwaan bahawa Queen Elizabeth II dari England adalah keluarga Sultan Sulu. Percaya atau tidak, telitilah dulu fakta-fakta yang diutarakan UTC.

Aku tumpang gembira andai ditakdirkan Kesultanan Sulu ini kembali berdaulat. Selain dapat menyelesaikan penderitaan Muslim Sulu (Tausug), satu lagi kesultanan Melayu akan kembali bertakhta. Yang penting untuk merealisasikan matlamat ini, bangsa tausug dan rakyat Sulu seluruhnya harus bersatu menuntut hak mereka. Buat teman-teman yang ingin mengikutilebih lanjut perkembangan UTC dan Kesultanan Sulu, bolehlah melayari blog tausug-global.blogspot.com Atau boleh juga dapatkan buku "Tausug dan Kesultanan Sulu" tulisan saudara Asreemoro. Aku pun dah beli buku tu kat Saba' Islamic Media di Kompleks PKNS Shah Alam cuma baca je belum habis lagi.hehehe.. Semoga perjuangan mereka semua mendapat pertolongan Allah SWT.

Piala FA: Menanti Insentif Kerajaan Kelantan

25 April pasukan bolasepak Kelantan telah mencipta sejarah dengan muncul naib juara Piala FA buat pertama kalinya. Pihak KAFA dengan diketuai oleh presidennya Tan Sri Anuar Musa mengambil inisiatif untuk tetap membawa para pemain dan team kejurulatihan ke Old Trafford sekaligus mengatur beberapa perlawanan persahabatan di England walaupun Kelantan gagal membawa pulang Piala FA ke Kota Bharu. Aku rasa pasukan Kelantan memang berhak untuk mendapat ganjaran tersebut bukan kerana untuk mengajar mereka menjadi materialistik tetapi sebagai dorongan dan motivasi kepada para pemain untuk membawa pulang lebih banyak kejayaan. Pasukan Kelantan memang berada di prestasi terbaik mereka musim ini untuk memburu 2 lagi gelaran iaitu Piala Liga dan Piala Malaysia.

Cuma aku masih ternanti-nanti apakah insentif yang akan diberi oleh kerajaan negeri Kelantan. Menjelang perlawanan akhir tempohari, kerajaan kelantan melalui Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO iaitu YB Abd Fattah Mahmood telah menjanjikan ganjaran sebanyak RM30 000 kepada KAFA sekiranya muncul juara. Aku tak naklah bandingkan ganjaran kerajaan Kelantan dengan kerajaan Selangor sebab umum mengetahui bahawa kerajaan kelantan bukanlah sebuah kerajaan yang banyak wang. Kerajaan Selangor telah memberi ganjaran 15 ribu ringgit bagi setiap pemain dan kerajaan kelantan tentunya tidak mampu memberi ganjaran yang sama. Akan tetapi sebagai tanda sokongan dan penghargaan kerajaan negeri kelantan kepada KAFA dan pemain Kelantan, elok kiranya ganjaran atau apa jua insentif diberikan kepada mereka walaupun nilainya tidak besar.

Aku harap janganlah kerana KAFA dipimpin oleh ramai orang kuat UMNO Kelantan maka pemain pula yang menjadi mangsa. KAFA dan pemainnya telah membuktikan sumbangan mereka kepada kemajuan bolasepak negeri kelantan. Sekarang tiba pula giliran kerajaan negeri kelantan untuk membuktikan keprihatinan dan keikhlasan mereka. Apa salahnya semua pihak melupakan sejenak perbezaan ideologi politik dan bekerjasama demi kemajuan bolasepak kelantan.