Thursday, May 28, 2009

Akhil Hayy: Apa Dah Jadi Syeikh?


Sejak isu Akhil Hayy dan Waheeda menjadi hangat, aku sering kali ditanya tentang status sebenar mereka dan cerita sebenar di sebalik cakap-cakap di media. Dan aku yakin, bukan aku sorang saja di kalangan orang nasyid yang diajukan soalan sedemikian. Walaupun aku bukanlah kategori kawan rapat mereka, tapi majoriti penggiat nasyid yang aktif boleh dikatakan mengetahui cerita di sebalik apa yang terpapar di dada-dada akhbar. Aku sendiri pun pernah "lepak" dengan pasangan popular ni dengan seorang rakan lain. Malah aku juga pernah berjumpa secara face to face dengan Isteri Ust Akhil, Kak Maiza atas kapasitinya sebagai pengurus Ust Akhil. Maklum jelah, sebagai event manager tentunya aku tak dapat leri daripada berurusan dengan rakan-rakan artis yang lain.

Aku memang meminati Ustaz Rock ni sejak zaman di sekolah menengah lagi. Namun tarikan ketika itu lebih kepada metod penyampaian ceramahnya yang agak berbeza dan up to date berbanding ustaz-ustaz lain ketika itu. Dia sering menyelitkan nyanyian dalam ceramahnya. Malah pada era pasca reformasi dia juga merupakan salah seorang penceramah PAS yang cukup popular malah sering berkongsi pentas dengan pemimpin tertinggi PAS ketika itu termasuklah Tuan Guru Nik Abdul Aziz selaku Mursyidul Am Pas dan Menteri Besar Kelantan. Kehebatan ceramahnya politiknya menarik kehadiran ribuan orang. Aku masih ingat salah satu lagu yang sering dinyanyikan dalam ceramah politik beliau iaitu "Royalti" yang disadur melodi lagunya daripada lagu "Sejati" nyanyian Wings. Ust Akhil Hayy juga sering diturunkan untuk berkempen dalam pilihanraya-pilihanraya kecil yang disertai Barisan Alternatif ketika itu.



Nama Ustaz Akhil Hayy mula menyinar di media arus perdana setelah dia terlibat dalam Konsert Tautan Kasih dan Majlis Pengisytiharan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam pada tahun 2005 yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan yang turut melibatkan Mawi, M.Nasir, Rabbani dan group aku sendiri yakni Mestica. Itulah konsert besar-besaran pertama melibatkan artis pop diadakan di Kelantan sejak 15 tahun PAS memerintah Kelantan pada waktu itu. Ramai juga wartawan yang membanjiri Kota Bhari ketika itu yang tertarik dengan imejnya berserban tetapi mampu menyanyi dengan merdu. "Oh my god! What a beautiful voice!" itulah ungkapan yang terpacul dari seorang wartawan NST yang dipanggil Jac oleh Abang Nasir Deraman (PRO Hijjaz Records) yang menguruskan delegasi wartawan ketika itu. Tapi aku tahu itu bukan nama dia sebenar sebab nama Jac tu diberi sebab muka dia ada iras-iras Jacquline Victor. Selain daripada Mawi, Ustaz Akhil Hayylah yang banyak menjadi tumpuan media ketika itu. Sampai krew Melodi pun cari dia. Aku nampak ada 3 faktor utama yang menjadi tarikan media ketika itu. Pertama background dia sebagai bekas penyanyi rock yang kini menjadi pendakwah dan penyanyi nasyid, kedua suara dia yang merdu,ketiga imej dia yang berserban dengan rambut yang tetap panjang sepanjang ekor serbannya.hehehe..

Apabila namanya mula menjadi sebutan, aku ada mendengar ura-ura ketika itu Hijjaz Records nak ambil dia sebagai artis rakaman namun kerana bimbang dengan reputasi Ustaz Akhil yang merupakan tokoh politik pembangkang terkenal akan memberi kesan negatif kepada syarikat maka Hijjaz Records melupakan hasrat itu. Akhirnya Ustaz Akhil Hayy disunting oleh Inteam Records untuk menjadi artis naungan mereka. Maka bermulalah episod baru dalam kehidupan Ustaz Akhil Hayy daripada menjadi penyanyi dan pendakwah underground kepada seorang penyanyi nasyid dan pendakwah mainstream yang lebih glamour dan terkenal...

BERSAMBUNG...




1 comment: