Friday, June 14, 2013

Kembali Kepada Asas

Ketika saat dan ketika artikel ini ditulis, dunia nasyid di Malaysia masih mengalami demam qasidah. Saya boleh katakan lagu nasyid yang paling popular pada masa  ini bukan lagi lagu Maher Zain, Hijjaz, Raihan, Rabbani mahupun Inteam. Tetapi yang menjadi trend sekarang ini adalah lagu-lagu berbentuk Qasidah seperti Ya Hanana.

Berbeza dengan di negara tetangga kita Indonesia, qasidah dikategorikan sebagai salah satu cabang dalam seni nasyid. Sebab itulah sebahagian besar penggerak  qasidah di Malaysia juga adalah di kalangan penggiat nasyid sendiri. Namun di Indonesia sebagaimana yang diceritakan oleh teman-teman penasyid di sana, nasyid dan qasidah bukan sahaja mempunyai penggiat yang berlainan malah peminat mereka juga berbeza. Di Malaysia, seni qasidah dipelopori oleh kelas-kelas pengajian agama dan tarikat termasuk madrasah, maahad tahfiz mahupun pondok-pondok moden. Qasidah juga dikatakan sinonim dengan guru-guru agama atau para habib yang berasal atau mengikuti pengajian di Yaman.

Habib Ali Zainal Abidin bersama Inteam dan Al Mawlid
Bagi saya, perkembangan ini adalah satu perkara yang sangat positif dan membantu memperkasakan lagi industri nasyid tanah air. Satu ketika, saya agak bimbang terhadap perkembangan nasyid tanah air apabila melihat penasyid-penasyid baru terlalu cenderung kepada irama pop, balad, R&B serta irama-irama moden yang lain. Ketika itu kemahiran bertarannum dan qasidah seolah-olah dikesampingkan sebagai pra syarat kepada sesebuah kumpulan nasyid. Saya tidaklah meletakkan syarat agar semua ahli kumpulan nasyid itu mahir berqasidah namun cukup sekurang-kurangnya salah seorang daripada mereka mampu berqasidah dan bertarannum dengan baik biarpun tidak benar-benar mahir.

Antara acara mawlid yang dianjurkan baru-baru ini
Namun dengan ‘kegilaan’ atau peningkatan minat masyarakat Islam di Malaysia setidak-tidaknya memaksa para penasyid untuk mempelajari kemahiran asas dalam berqasidah dan bertarannum untuk membolehkan mereka mengalunkan irama tersebut dalam persembahan-persembahan pentas. Dari dilihat dari sudut pemasaran sekalipun, mereka tidak boleh melawan arus untuk kekal relevan dalam industri nasyid. Mereka perlu menawarkan apa yang dimahukan oleh pasaran. 



Secara kesimpulannya, saya melihat minat fenomena qasidah di Malaysia telah membawa para penasyid terutamanya di kalangan generasi baru untuk kembali kepada asas irama nasyid itu sendiri. Ini akan memperkasakan lagi jatidiri para penasyid yang ada pada hari ini. Memang benar tidak salah untuk penasyid mengalunkan nasyid dalam irama pop, R&B mahupun rock namun asas qasidah dan tarannum perlu ada dalam diri dan jiwa mereka.Sekian.

No comments:

Post a Comment