Saturday, May 18, 2013

Machang: Parlimen untuk BN, DUN untuk PAS

Selepas balik dari mengundi di Machang, ramai kawan-kawan yang terkejut bagaimana keputusan di Machang boleh jadi macam tu; Ketiga-tiga DUN Pulai Chondong, Kemuning dan Temangan dimenangi PAS tetapi BN berjaya merampas kerusi Parlimen Machang. Berdasarkan pemerhatian dan maklumat yang ada, saya menyimpulkan keadaan ini berlaku kerana faktor-faktor berikut:


Faktor orang tempatan merupakan faktor yang paling kritikal. Memang benar calon Keadilan, Dr Wan Zawawi Wan Ismail dilahirkan di Kedai Labok Machang tetapi dia tidak menetap di Machang. Sebaliknya Calon BN Dato Jazlan Yaakob bukan sahaja anak tempatan tetapi beliau memang menetap di sini. Sebagai Ketua UMNO Bahagian Machang, beliau sememangnya lebih dikenali ramai berbanding Dr Zawawi yang baru saja muncul menjelang penamaan calon. Lebih parah lagi, saya difahamkan Dr Zawawi tak berkesempatan menjelajah ke semua kawasan di Machang.Dato Jazlan pula boleh dikatakan telah 'berkempen' di machang sejak tamatnya pilihanraya yang lepas.
Kedua,Sebahagian orang machang sebenarnya masih berasa 'perit' dan mungkin sedikit 'trauma' dengan kesusahanuntuk bertemu wakil rakyat PKR sebelum ini iatu Dato Saifudin Nasution yang banyak menghabiskan masa di Kuala Lumpur memenuhi tugasannya sebagai Setiausaha Agung PKR. Saya masih ingat sekumpulan anak muda yang tinggal berhampiran rumahnya mengeluh apabila sukar untuk menemuinya. "Toksoh kato nok mitok bola nga jersi, nok jupo dio pun payoh.Tiap kali gi, kalu tok tidur pun dio tak dok di ghumoh.." Kenduri kendara rakyat pun jarang dia kelihatan. Pengundi di kawasan sub urban seperti Machang  memerlukan seorang YB yang sentiasa berada di kawasan.Mereka ni suka 'bermanja' dengan YB-YB mereka. Kadang-kadang bukan sebab nak duit atau bantuan sangat namun cukup sekadar YB bertanya khabar dan hadir di majlis-majlis mereka.


Pendekatan kempen "Parlimen ko Barisan, DUN ko Pas" yang digunakan sebahagian jentera UMNO juga memberi kesan. "Parlimen bui ko ambo la, mudoh ambo nok wak kelik projek persekutuan. Kalu Parlimen bui ko BN pun, kerajaan negeri Tok Guru jugok pegey,," Kata-kata sebegini 'memakan' pengundi juga. Ini bukan kali pertama pengundi Machang membuat pemilihan sebegini. PRU11 pun keputusannya sama.Cuma harapnya biarlah Dato Jazlan benar-benar bawak balik projek ke sini. Jangan jadi macam wakil rakyat BN 2004 dulu.Alhamdulillah Machang dah ada UiTM yang sedikit sebanyak merancakkan pertumbuhan ekonomi di sini. Kalau boleh Dato Lan tolong usahakan agar projek pembinaan Universiti Lim Kok Wing dan Kolej Universiti Twintech benar-benar direalisasikan. Kedua-dua projek ini rasanya memerlukan kerjasama kedua-dua pihak baik kerajaan negeri mahupun persekutuan. Mohon juga Dato Jazlan tolong guna network yang ada khususnya di MAIK untuk membantu menggerakkan projek pembesaran Kompleks Masjid Sultan Yahya Petra yang turut melibatkan pembinaan Maahad Tahfiz. Projek ni dah bertahun tertangguh.Pengambilan tanah pun tak settle-settle lagi. Kalau tak keberatan, silalah Dato jenguk AJK masjid Machang nanti ye..

Masjid Sultan Yahya Petra
Jadi kalau PKR memang nak menang di Machang silalah 'groom' bakal calon anda dari sekarang. Gerak kerja hendaklah dimulakan dari sekarang dan bukan main letak je menjelang PRU akan datang. Di Machang, "candidate really matters". PAS sendiri pun hakikatnya tidaklah terlalu kuat di Machang. Namun sejak dulu, saya kira UMNO pun tidak serius meletakkan calon yang benar-benar berkaliber di peringkat DUN.Isu dan rasa tak puas hati bukannya tiada langsung terhadap sesetengah ADUN Pas tetapi rakyat tidak ada alternatif yang lebih baik untuk memilih. Apatah lagi, pimpinan PAS di peringkat negeri ada yang cuba memilih 'anok beranok' masing-masing menjadi calon seperti yang berlaku di DUN Kemuning baru-baru ini. Nasib baik mereka akhirnya akur dengan bantahan akar umbi. Saya sendiri pun hairan mengapa Ustaz Pi yang punya reputasi yang sangat baik di Machang itu digugurkan. 

Sebagai anak jati Machang, saya mengaharapkan agar wakil-wakil rakyat yang terpilih dapat menjalankan amanah dengan penuh dedikasi. Ketepikanlah perbezaan politik anda dan lakukanlah tanggungjawab secara professional demi kami rakyat Machang. Kami mahu melihat Machang yang lebih maju dan sejahtera.

No comments:

Post a Comment