Monday, August 8, 2011

Isu Gereja: Mengapa Perlu Apologetic?

Minggu ini heboh orang memperkatakan tentang serbuan JAIS terhadap Gereja Methodist Damansara Utama. Ramai yang menyokong dan tidak kurang juga yang mengkritik tindakan ini. Yang menyokong menyifatkan tindakan ini sangat perlu malah wajib kerana majlis yang diadakan mempunyai elemen penyebaran ajaran Kristian terhadap umat Islam. Yang menentang pula beranggapan tindakan serbuan adalah keterlaluan dan satu tindakan yang tidak berhemah malah mencemarkankan imej Jabatan Agama Islam serta agama Islam itu sendiri. Lebih menyerabutkan dan mengecewakan apabila isu ini dilihat dari neraca politik. Bagi aku ada beberapa intipati penting yang perlu dicari jawapannya di sebalik keributan ini.

Tindakan dari Perspektif Undang-Undang
Apabila berbicara tentang aktiviti penguatkuasaan, kita tak dapat lari daripada melihatnya dari sudut undang-undang. Mengikut kenyataan rasmi yang dikeluarkan Dato Dr Hassan Ali selaku Exco yang bertanggungjawab, pihak JAIS telah bertindak berdasarkan Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995 setelah mendapat aduan terdapatnya aktiviti yang menjurus kepada pendakwahan ajaran kristian ke atas umat Islam. Pemeriksaan telah dibuat oleh pihak polis dan penguatkuasa hanya selepas perundingan hampir sejam dengan pihak penganjur. Aku tak pasti sama ada serbuan ini mengikut SOP atau tidak namun jika kita mengambil kira fakta adanya perundingan antara penganjur dan penguatkuasa, maka jelas bahawa serbuan ini tidak dilakukan secara sembrono dan menggunakan budi bicara.



Berlakukah  Proses Kristianisasi dalam Majlis Tersebut?
 
Perkara ini masih menimbulkan tanda tanya. Pihak gereja menafikan berlakunya pendakyahan kepada orang Islam tentang agama kristian namun pihak JAIS mendakwa sebaliknya malah mereka mengatakan punya bukti untuk mneyokong dakwaan tersebut. Antara bukti yang dinyatakan adalah pengedaran Bible versi Melayu, selain pengucapan awam dan penawaran bantuan kewangan kepada tetamu muslim. Ia dilihat sebagai usaha halus untuk mendekatkan orang muslim yang dilanda kesempitan hidup mendekati ajaran kristian.Apapun pihak JAIS sehingga saat ini masih belum menyiarkan laporan rasmi tentang serbuan tempohari. Jika benar perkara ini berlaku, ianya ternyata melanggar artikel 3 perlembagaan persekutuan yang jelas melarang penyebaran agama lain ke atas orang Islam. Yang aku tak sedap, bila ada yang cuba mencabar peruntukan ini secara terbuka. Aku minta tolong, jangan cuba bermain api. Hormatilah persetujuan yang telah dicapai bersama sebelum ini. Kalau Dr Hasan Ali kata "saya rela dipecat," aku percaya kat luar sana bukan setakat rela dipecat, malah ribuan umat Islam rela mati mempertahankan akidah dan kesucian agama Islam. Akidah bukanlah sesuatu yang boleh dipermainkan. Kami boleh menghormati dan bersahabat dengan anda namun janganlah sesekali cuba memijak kepala kami.
 

Ke Mana Perginya Wang Zakat?
 
Isu ini juga secara tidak langsung mendedahkan secara serius kepincangan institusi zakat dan baitulmal terutamanya dalam proses pengagihan wang zakat kepada para asnaf. Perkara ini turut mendapat kritikan bekas mufti Perlis dalam tulisannya. Selangor merupakan antara negeri yang mempunyai kutipan zakat yang tertinggi di Malaysia dimana kutipan bagi tahun 2010 menjangkau RM336.8 juta. Soalnya bagaimana masih ada golongan asnaf yang tidak diberi bantuan sehingga terpaksa meminta bantuan daripada pihak gereja? Sebuah akhbar tempatan ada melaporkan kisah seorang mangsa birokrasi institusi zakat dan baitulmal yang dinafikan haknya untuk menerima bantuan sehingga beliau akhirnya mengharapkan bantuan daripada organisasi kristian. Secara moralnya yang salah bukannya organisasi Kristian yang menghulurkan bantuan tetapi institusi zakat dan baitulmal kita. Sebelum ini, ada jabatan agama dikritik kerana hanya pandai menuntut jenazah mualaf setelah meninggal dunia tetapi tak seorang pun datang menghulur bantuan ketika allahyarham hidup dalam kesusahan.
 


Sama-sama kita doakan agar isu yang timbul ini menemui jalan penyelesaiannya. Jika benar pihak penganjur himpunan di gereja tempohari melangggar mana-mana undang-undang dalam negara, mereka aharus dihukum dengan peruntukan yang ada. Namun andai pihak JAIS yang melakukan kesilapan, mereka juga harus bertanggungjawab kerana membawa imej buruk kepada agama Islam dan umat Islam umumnya. Para pemimpin politik pula usahlah ghairah memanipulasi isu ini untuk menagih sokongan politik. Lihatlah isu ini dengan neraca agama dan bukannya neraca politik.

No comments:

Post a Comment