Sunday, February 6, 2011

Ops Piramid: 9000 ke Jeddah, 2000 kekal di Mesir

Akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan Timbalan Menteri Luar Malaysia yang kini mengkoordinasi pemindahan rakyat Malaysia dari Mesir iaitu Senator A Kohilan Pillay mengatakan hanya 9000 rakyat Malaysia yang memohon untuk ke Jeddah sebelum dibawa pulang ke Kuala Lumpur. Manakala baki 2000 orang lagi ingin terus berada di Mesir. Operasi mengeluarkan rakyat Malaysia dari Mesir dijangka selesai sepenuhnya hari ini. Hmm.. aku tertanya-tanya juga mengapakah baki 2000 orang ni tak mahu keluar dari Mesir dan siapakah mereka? Secara logiknya, dalam situasi keselamatan yang tidak menentu seperti itu tentunya masing-masing akan berebut-rebut pulang ke kampung halaman. Mesti ada sebab kukuh yang menyebabkan mereka bertekad untuk terus kekal di bumi Anbia itu.


Demonstrasi solidariti rakyat Mesir di Kuala Lumpur

Pada masa yang sama, aku harap Ops Piramid ni tak payahlah dipolitikkan. Ini melibatkan kepentingan negara dan rakyat kita dan bukan lagi soal politik PAS, UMNO, PKR atau DAP. Semua pihak harus bekerjasama mengembeling usaha untuk menyelamatkan semua warganegara kita yang berada di Mesir dengan apa cara sekalipun. Kalaupun kita ni penyokong pembangkang, janganlah sampai kita tak mahu memberi kredit kepada pihak kerajaan pusat yang melancarkan Ops Piramid ini. Begitu juga dengan bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan negeri yang diterajui pembangkang, mereka juga wajar diberi pujian dan terima kasih.

Ops Piramid ini bukanlah sesuatu yangmudah untuk dilaksanakan. Ia memerlukan perancangan teliti dari pelbagai sudut terutamanya dari sudut logistik dan keselamatan. Halangan utama pada peringkat awal ialah untuk mendapatkan kebenaran mendarat dan menggunakan ruang udara daripada pihak berkuasa Mesir dan Arab Saudi yang menjadi tempat transit. Agak lambat juga kita mendapat kebenaran mendarat terutamanya untuk 3 pesawat Charlie milik TUDM.  Namun alhamdulillah nampaknya semuanya dah beres. Cuma aku rasa, kita agak lambat bertindak berbanding negara lain. Di saat banyak negara telah mula membawa keluar warga mereka, TPM kita yang ketika berada di Tenang kerana PRK mengatakan bahawa tiada keperluan untuk membawa pulang warganegara kita. Aku tak tahulah siapa yang brief kat dia macam tu.


Perkembangan Ops Piramid oleh PM

Strategi membawa keluar rakyat kita dari kawasan konflik ke Jeddah sebelum dibawa pulang adalah sangat tepat. Ianya lebih praktikal berbanding tindakan membawa pulang secara terus ke tanah air yang memerlukan jangka masa yang lebih panjang atau kemudahan pengangkutan yang lebih banyak. Langkah selepas ini adalah untuk membawa kesemua mereka pulang ke tanah air secara berperingkat. Yang lebih penting, kerajaan wajar menanggung keseluruhan kos tersebut. Para pelajar dan keluarga mereka terutamanya bukan semuanya mempunyai sumber kewangan yang besar. Apatah lagi apa yang berlaku ini bukanlah atas kehendak mereka. Lagipun kebanyakan pelajar hanya pulang 2-3 kali saja ke kampung mereka sepanjang pengajian di sana. Tidak kurang juga yang hanya pulang ke tanah air selepas tamat belajar. Kita doakan sahaja yang terbaik buat mereka semua..

No comments:

Post a Comment