Pukul 7.00 petang ini kita akan dapat menyaksikan pertembungan misi hidup mati skuad bolasepak Malaysia dengan pasukan tuan rumah China dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan. Kemenangan akan menjamin kemaraan mana-mana pasukan ke pusingan kalah mati. Andai kalah, kedua-dua pasukan masih mampu mengintai aksi pusingan seterusnya dengan bekalan 3 mata setelah masing-masing mengalahkan Kyrgyzstan sebelum ini. Andai seri, Malaysia akan layak secara automatik kerana Malaysia mempunyai kelebihan dari sudut jaringan dan bolos namun China masih punya peluang untuk layak kerana 4 pasukan terbaik yang meduduki tempat ke-3 kumpulan akan turut dibawa ke pusingan kalah mati.
Di atas kertas, China tentunya punya kelebihan. Selain daripada sokongan peminat tempatan, pemain China punya kelebihan dari sudut fizikal dan mungkin juga taktikal. Secara faktanya China juga mempunyai ranking yang lebih baik daripada Malaysia. Dari sudut kemahiran individu, mungkin kemampuan pemain negara tidak jauh bezanya cuma saiz fizikal yang sedikit sebanyak akan memberi halangan kepada mereka untuk bersaing dengan lebih selesa. Ditambah dengan kecederaan beberapa pemain utama seperti Zamani Misbah dan Fakri Shaarani serta ketiadaan pemain tonggak yang cedera dan tidak dibawa dalam kempen kali ini memang sedikit merencatkan percaturan jurulatih.
Apapun Rajagopal harus bijak menggunakan semua pemain yang ada. Susunan pemain dan taktikal harus tepat bagi menyaingi China. Kita masih punya Shahrul Idlan, Safiq Rahim, Muslim Ahmad, Chanturu, Izzaq Faris dan lain-lain untuk mengatasi China. Kita tidak perlu terlalu menghormati lawan sehingga kita hanya asyik mengejar dan melihat sahaja mereka memegang bola sebagaimana yang kita buat ketika menentang Jepun tempohari. Striker pun janganlah segan-segan untuk merembat apabila berada pada jarak yang bersesuaian. Lagipun tekanan psikologi lebih memihak kepada China kerana mereka ingin membuktikan sesuatu kepada peminat mereka selepas tumpas 0-3 ditangan Jepun dan nyaris dimalukan Kyrgyzstan dalam aksi kedua. Dengan kesungguhan yang tinggi dan kerjasama berpasukan, insya Allah kita mampu mencipta sejarah layak ke pusingan kedua selepas kali terakhir kita berjaya melakukannya pada 1978. Selamat berjuang Harimau Malaya!
No comments:
Post a Comment