Wednesday, February 4, 2009

Gitar: Pertikaian Yang Belum Selesai?

Dalam satu program, kumpulan nasyid di bawah naungan Nasyeed.Com iaitu Algebra telah dijemput untuk membuat persembahan namun akhirnya terpaksa menarik diri kerana terdapat pertikaian berhubung soal penggunaan gitar oleh Algebra. Sebagai kumpulan nasyid yang tampil dalam bentuk band, Algebra sememangnya menggunakan instrument yang dimainkan secara live seperti gitar, dram, keybord dan sebagainya. Apabila isu penggunaan gitar yang dianggap haram ini dibangkitlah oleh salah seorang jawatankuasa penganjur, aku agak terkejut kerana menjangkakan isu ini telah lama selesai. Penggunaan alat muzik bertali ini dalam irama nasyid kontemporari boleh dikatakan bermula sejak terbitnya album sulung Inteam berjudul Kasih Kekasih yang menggunakan alat muzik bertali berasal dari iaitu Mendolin. Namun pada ketika itu isu penggunaan alat muzik bertali ini agak tenggelam dengan isu kewajaran subjek percintaan remaja disentuh dalam lagu nasyid.


Sebelum kami yakni para penggiat nasyid memutuskan untuk meluaskan penggunaan instrumen muzik selain daripada percussions, kami telah merujuk kepada ulama-ulama yang dihormati di Malaysia untuk mendapatkan pandangan mereka. Hampir kesemua ulama yang kami temui mengatakan bahawa secara umumnya penggunaan sebarang instrumen muzik adalah harus asalkan ia digunakan untuk tujuan yang baik. Analoginya mudah, penggunaan pisau di dapur untuk memotong sayur adalah harus namun jika pisau yang sama digunakan untuk membunuh insan yang lain maka ia akan menjadi haram. Malah ada juga antara ulama ini juga mempunyai kemahiran dan minat bermain instrumen sebegini. Tetapi soalnya mengapa ulama terdahulu ada yang mengharamkan alat muzik bertali dan tiupan? Imam Al Ghazali melalui bukunya bertajuk Adab Mendengar Irama dan Lagu ada menjelaskan bahawa pengharaman instrumen-instrumen tersebut adalah kerana pada satu ketika ia menjadi syiar atau lambang kepada golongan fasik dan bukan kerana zat instrument itu sendiri. Pendek kata pada waktu itu, sesiapa yang bermain alat muzik bertali dan tiupan pastinya tergolong dalam golongan fasik. Namun dalam suasana hari ini takrifan itu tidak boleh digunakan lagi. Dewasa ini, kita sendiri pun tidak akan sewenang-wenangnya mengatakan sesiapa yang menggunakan alat muzik bertali atau tiupan adalah fasik.

Walau bagaimanapun aku tetap menghormati pandangan golongan yang berpendapat sebaliknya.Cuma apa yang diharapkan, mereka juga menghormati ijtihad yang kami pegang dan tidak menghalang kami berkarya dengan cara kami tersendiri. Lagipun apa yang didebatkan ini adalah khilaf dan bukanlah perkara dasar yang boleh menjejaskan akidah. Semoga kita semua mendapat petunjuk Allah SWT.

2 comments:

  1. erm..
    isu ni xsepatutnye dipertikaikan lg...

    ReplyDelete
  2. Apa nak buat, hakikatnya masih ada yang mempertikaikannya...

    ReplyDelete