Thursday, December 25, 2008

Saya Hanya Orang Biasa

Hari ni aku nak kongsikan satu surat yang ditulis oleh seorang sahabat kepada calon isterinya. Isinya agak menarik dan menyentuh jiwa. Semoga kita mendapat manfaat daripada tulisan beliau ini.


Kehadapan Calon isteri saya, calon ibu anak-anak saya, calon menantu Ibu dan Ayah saya dan calon adik buat kakak-kakak saya

Assalamu'alaikum wbt

Mohon maaf kalau awak tidak berkenan. Tapi saya mohon bacalah surat ini hingga ke akhir. Baru kemudiannya bolehlah dibuang atau dibakar, tapi saya mohon, bacalah dulu sampai selesai.

Saya, yang bernama ..............................berhasrat mengambil awak ................... untuk menjadi isteri saya. Saya bukan siapa-siapa. Saya hanya manusia biasa. Buat masa ini saya mempunyai pekerjaan. Tetapi saya tidak tahu apakah kemudiannya saya akan tetap bekerja. Tapi yang pasti saya akan berusaha mendapatkan rezeki untuk mencukupi keperluan isteri dan anak-anak saya kelak.

Saya memang masih menyewa rumah. Dan saya tidak tahu apakah kemudiannya akan terus menyewa selamanya. Yang pasti, saya akan tetap berusaha agar isteri dan anak-anak saya tidak dibaham panas terik mentari dan kebasahan di kala hujan. Saya juga hanya punya sebuah kereta biasa dan sebuah motosikal kapcai yang telah banyak berjasa kepada saya.

Saya hanyalah manusia biasa, yang punya banyak kelemahan dan beberapa kelebihan. Saya amat mengharapkan awak sudi bersama saya demi menutupi kelemahan saya dan mengendalikan sedikit kelebihan yang saya ada. Saya hanya manusia biasa. Cinta saya juga biasa saja. Oleh kerana itu, saya harap awak dapat membantu saya memupuk dan merawat cinta ini, agar menjadi luar biasa.

Saya tidak tahu apakah kita nanti dapat bersama-sama sampai mati. Kerana saya tidak tahu suratan jodoh saya. Yang pasti saya akan berusaha sepenuh hati menjadi suami dan ayah yang baik.

Kenapa saya memilih awak? Sampai saat ini saya tidak tahu kenapa saya memilih awak. Saya sudah solat istiqarah berkali-kali, dan saya semakin mantap memilih awak. Yang saya tahu, saya memilih awak kerana Allah. Dan yang pasti, saya berkahwin untuk menyempurnakan agama saya, juga sunnah Rasulullah. Saya tidak berani menjanjikan apa-apa, saya hanya berusaha sekuat mungkin menjadi lebih baik dari apa yang saya ada sekarang ini.

Saya memohon agar awak solat istiqarah dulu sebelum memberi jawaban pada saya. Saya harap awak dapat mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu atau selewatnya dalam tempoh satu bulan untuk memberi jawapan. Semoga Allah redha dengan jalan yang kita tempuh ini. Amin

Wslm.

No comments:

Post a Comment