Friday, November 7, 2008

Pelantikan Madam Low Satu Umpan?

Pelantikan Madam Low sebagai pemangku Pengurus Besar PKNS telah menimbulkan polemik di kalangan pemimpin politik dan rakyat Selangor umumnya.Aku tengok MB Selangor kita yang baru ni acap kali juga mencetuskan kontroversi. Dulu hal projek ladang babi sekarang ni pulak isu PKNS. Namun tak semestinya tindakan kontroversi yang dibuat tu salah. Cuma ia menjadi hangat apabila banyak pihak yang bersuara dan mengemukakan pandangan masing-masing. Aku percaya sebagai seorang pemimpin yang berpengalaman, Tan Sri Khalid punya strategi dan sebab tersendiri di atas setiap tindakan yang dibuat.

Dalam isu PKNS ini, ramai pihak membantah pelantikan Madam Low kerana bangsanya kerana pada anggapan mereka kerusi GM PKNS milik mutlak bumiputera.Aku tak berminat untuk mengulas tentang kewajaran seorang bukan bumiputera dilantik menerajui PKNS kerana sudah ramai yang memperkatakannya. Namun yang jelas daripada laporan di media cetak prestasi PKNS tahun lepas tidak memberangsangkan malah banyak projek mencatatkan kerugian. Lebih mengejutkan 75 peratus projek-projek PKNS yang kononnya bertujuan untuk membangunkan taraf ekonomi bumiputera diberikan secara langsung atau tidak langsung kepada tauke-tauke bukan bumiputera.Ini tidak termasuk unsur "conflict of interest" dalam struktur PKNS itu sendiri apabila terdapat sekumpulan pegawai kanan memegang saham 30% dalam anak syarikat PKNS, iaitu PKNS Infra Sdn Bhd.

Pada pandangan aku, kontroversi ini sememangnya sengaja dibuat sebagai satu umpan untuk membongkar penyelewengan yang berlaku dalam pentadbiran sebelum ini sekiranya ada. Golongan yang membantah pelantikan ini akan tampil mengeluarkan fakta-fakta atau cerita-cerita yang sebelum ini tersembunyi untuk menyokong bantahan mereka.Cerita-cerita tersebut mungkin termasuk dakwaan aktiviti penyelewengan yang berlaku dalam pentadbiran sebelum ini.Aku percaya pelantikan Madam Low bukanlah untuk memberi peluang pada beliau untuk "memulihkan" PKNS tetapi untuk membongkar dan mencari bukti-bukti sekiranya penyelewengan berlaku sebelum ini. Dan jika ianya dapat dibongkar, maka Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor akan mendapat peluru baru untuk membedil kerajaan sebelum ini. Apa yang berlaku ini adalah hampir sama dengan kontroversi pembelian Mercedes Benz sebagai kereta rasmi Exco Kerajaan Terengganu yang akhirnya membawa kepada penemuan kepada bukti berlakunya penyelewengan dalam urusan penyelenggaraan kenderaan Exco Kerajaan Terengganu sebelum ini.

BPR telah memulakan langkah untuk menyiasat PKNS. Kita tengok saja apa yang bakal berlaku selepas ini.Berjayakah Kerajaan PR Selangor menemui peluru yang dicari? Sama-sama kita tunggu...

No comments:

Post a Comment